Senjata adalah aset utama dalam dunia digital. HAZRIL MD NOR faham setiap pemain mempunyai gaya permainan berbeza sekali gus menjadikan setiap senjata digunakan mengikut kreativiti masing-masing.

Dalam dunia digital, senjata adalah segala-galanya. Ia terdiri daripada alat dan kelengkapan yang imaginatif untuk digunakan bagi mempertahankan diri dan memulakan serangan. Setiap permainan video menampilkan koleksi senjata yang berbeza dan kesemuanya mempunyai fungsi interaktif sesuai dengan konsep permainan.

Sebagai pemain, pastinya kita terfikir apakah senjata terbaik yang boleh digunakan dalam apa saja situasi? Penulis percaya setiap pemain pastinya kreatif dan tidak akan mengikut ‘undang-undang’ dalam permainan. Asalkan senjata itu mudah didapati dan boleh melawan pihak musuh secara efektif, ia automatik diiktiraf sebagai teman sejati sepanjang permainan.

Murah tapi kuat

Pisau dan ‘crowbar’ - Dua senjata ‘murah’ ini terkenal dengan kekuatannya apabila pemain kehabisan peluru. Walaupun pada awalnya pemain dibekalkan dengan peluru yang banyak, namun pastinya ada suatu keadaan genting di mana anda kehabisan peluru kerana menembak tidak tentu hala. Justeru, dua senjata tradisional ini menjadi peneman sejati ketika kecemasan.

Dalam permainan genre First Person Shooter terutamanya, pisau dan ‘crowbar’ menjadi pilihan terakhir. Walaupun ia perlu digunakan dalam jarak dekat, pemain boleh menggunakan kebijaksanaan mengatur langkah untuk menyelinap masuk ke tempat persembunyian pihak musuh dan melaksanakan pembunuhan secara senyap. Dalam Half Life, ‘crowbar’ ibarat senjata ‘wajib’ digunakan melawan pihak musuh selepas hidup kembali.

Jauh dan berbahaya

Pengecut. Itu ungkapan yang dilontarkan pemain kepada pengguna ‘sniper’. Mana tidaknya, keupayaan senjata itu untuk fokus dan zoom pada musuh membuatkan ramai pemain menggeruni kehebatan senjata ini. Bukan itu saja, pelurunya yang sedikit sebenarnya mampu membunuh pihak musuh dengan sekali tembakan. Malahan, tembakan di kepala atau gelaran popular ‘headshot’ mampu memberikan markah percuma kepada pemain.

Pipe Bomb - Dalam kemelut berdepan dengan ratusan mayat hidup yang ingin menukarkan anda seperti mereka, jawapan muktamad ialah menggunakan sejenis bom yang mampu mele­nyapkan mereka sekali gus. ‘Pipe bomb’ (Left 4 Dead 2) mungkin sukar didapati, tapi fungsinya boleh menarik perhatian ‘zombie’ dan meletupkan mereka dalam sekelip mata antara sebab utama ia mendapat tempat di hati pemain.

Hebat dan eksklusif

Apple of Eden - Senjata terhebat ini hanya boleh didapati dalam permainan Assassin’s Creed: Brotherhood saja. Difahamkan, watak utama iaitu Ezio memiliki banyak senjata yang berbahaya, namun dia tidak perlu menggunakan kesemua itu sebaik saja menggenggam epal ‘keramat’ ini. Ia dicipta oleh kaum berkuasa yang dinamakan ‘First Civilization’. Sesiapa saja yang menggunakannya dianggap paling berkuasa dan dihormati kerana aura dari epal itu mampu mengawal minda manusia dengan mudah.

‘Keris Masa’ - Pernahkah anda terfikir untuk mengundur kembali masa selepas melakukan kesilapan yang dikesali? Keris masa atau ‘dagger of time’ yang dimiliki Prince of Persia mampu mengurniakan pemain kuasa hebat yang diidamkan itu. Ia membenarkan anda ‘menipu’ kematian dan mengundur kembali masa andai kata karakter anda terjatuh dalam gaung ataupun ditusuk senjata tajam. Selain mengundur masa, pemain boleh memperlahankan dan memberhentikan peredaran masa buat seketika untuk kepentingan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 9:28 AM