PERKENAL protagonis wanita dan lelaki dengan kuasa berbeza.
PERKENAL protagonis wanita dan lelaki dengan kuasa berbeza.
PERKENAL protagonis wanita dan lelaki dengan kuasa berbeza.
PERKENAL protagonis wanita dan lelaki dengan kuasa berbeza.
PERKENAL protagonis wanita dan lelaki dengan kuasa berbeza.
PERKENAL protagonis wanita dan lelaki dengan kuasa berbeza.
Hazril Md Nor


Sudah banyak permainan video mengetengahkan elemen ‘stealth’, namun konsepnya agak klise. Disebabkan elemen ini sering dikaitkan dengan ‘assassin’ maka konsepnya lebih menjurus kepada pembunuhan senyap dan serangan hendap.

Namun, Dishonored 2 tidak terus selesa berada dalam kelompok itu sebaliknya mengangkat konsep berkenaan ke tahap lebih tinggi. Dengan campuran elemen ‘stealth’, pemain tunggal dan magis, permainan ini memberikan nafas baru dalam dunia ‘game’.

Prolog terus membawa anda ke dalam kemelut keluarga diraja apabila Permaisuri Emily Kaldwin dituduh oleh ahli sihir, Delilah sebagai perampas takhta Dunwall. Selepas berlaku huru-hara menjelang acara pertabalan, anda boleh memilih untuk memainkan watak Emily ataupun protagonis Dishonored dan bapa Emily, Corvo Attano.

Seperti keluaran pertama, Dishonored 2 memberikan banyak alternatif kepada gaya permainan anda. Corvo dan Emily kedua-duanya ninja Victoria yang lincah dan anda diberikan penampilan yang misteri namun mempunyai identiti sebagai pembunuh senyap yang berstatus tinggi.

PENGARUH OUTSIDER

Untuk merampas kembali takhta Dunwall, anda perlu berdepan musuh dari pelbagai puak. Dalam pada itu, entiti dipanggil Outsider akan melihat dan memerhati pergerakan anda. Lebih misteri, Outsider wujud di dunia bayangan yang tidak dapat dilihat.

Menariknya, entiti ini yang mengurniakan kuasa magis dalam Dishonored 2. Pada permulaan permainan, ia akan menolong anda dengan menawarkan kuasa tertentu. Bagaimanapun, anda ada pilihan untuk menolak tawarannya dan menghabiskan permainan tanpa berbekalkan kuasa magis.

Jika anda inginkan gaya permainan klasik namun masih mengekalkan elemen moden, inilah permainan sesuai. Meskipun tidak mampu bergerak sekelip mata ataupun mengawal kuasa mistik kerana menolak tawaran Outsider, Dishonored 2 membekalkan senjata membunuh yang cukup licik untuk membuatkan Emily kekal berkuasa.

Apa saja pilihan anda, Outsider akan terus mengekalkan pengaruhnya dalam permainan. Sebagai contoh, pembunuhan terlalu banyak akan menyebabkan wabak misteri dan berbahaya kepada semua karakter dalam permainan. Jika anda berjaya mara tanpa membunuh dengan kerap, maka peluang untuk merampas takhta pastinya lebih cerah.

KUASA MISTIK

Seperti Assassin’s Creed, sistem perlawanannya sangat terancang namun tidak dilupakan kehadiran musuh yang ramai menyukarkan perlawanan satu lawan satu. Selain boleh menggunakan keadaan sekeliling untuk menewaskan musuh, Emily dan Corvo mempunyai kemahiran serupa yang menjadi satu kuasa yang biasa digunakan anda dalam permainan.

Emily mampu menggunakan kuasa mistik untuk bertukar tempat dengan mudah manakala Corvo lebih lincah dengan pergerakan kilat. Kuasa ini akan digunakan setiap masa memandangkan anda perlu memanjat dan melompat ke tempat tinggi. Ini tentunya untuk mencari ‘runes’ bagi meningkatkan kemahiran dan ‘bone charms’ yang menukarkan kuasa anda menjadi lebih hebat seperti ‘teleporting’ dan halimunan.

KEMBARA TANPA HENTI

Pengembaraan anda akan ke kawasan Karnaca diilhamkan oleh zaman Renaissance Eropah. Ia sangat artistik dan penuh mesej tersirat. Sebagai contoh, anda boleh melihat bangkai ikan paus terdampar dan sedang pupus kerana minyaknya dijadikan sumber elektrik.

Elemen ini seterusnya membuatkan anda tidak mudah bosan meneroka kerana tertarik dengan teknik penceritaan permainan ini berserta sejarah terkandung yang boleh diakses pada menu.

Permainan ini juga boleh dimainkan mengikut pilihan anda sendiri. Sebagai contoh terdapat tempat tertentu yang boleh dimasuki menggunakan pelbagai cara dan terpulang kepada anda untuk masuk ke dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 1:22 PM