2016 menyediakan pelbagai permainan video menekankan konsep penerokaan.
2016 menyediakan pelbagai permainan video menekankan konsep penerokaan.

Latar masa sesuai mampu menghidupkan suasana permainan video menjadi seakan-akan realiti. HAZRIL MD NOR kagum dengan pendekatan Ubisoft dalam merealisasikan konsep itu.

Permainan video berkonsepkan genre ‘action-shooter’ atau ‘survival’ sememangnya popular pada masa kini. Kewujudan judul terkenal seperti Far Cry dan francais Tom Clancy membuktikan genre sebegini memerlukan pemain sentiasa fokus dan bijak mengatur strategi.

Tahun 2016 menyajikan pelbagai permainan konsol menarik yang patut dicuba dan dialami sendiri. Tentunya grafik, gaya permainan dan kandungannya dipertingkatkan dalam usaha memberikan kepuasan berterusan kepada pemain. Berikut adalah dua permainan genre ‘action-shooter’ yang wajar ditunggu kemunculannya tahun depan.

Far Cry Primal

Setiap saat penuh debaran dan bahaya sekeliling yang boleh menggugat tahap keberanian dan kecekalan dalam usaha meneruskan hidup. Itulah gambaran suasana permainan Far Cry Primal yang menggunakan latar masa zaman batu. Tidak seperti keluaran sebelumnya yang dipenuhi senjata canggih, Primal menjanjikan gaya permainan berlainan sekali gus membuatkan anda benar-benar berada dalam dunia khayalan sementara.

Secara ringkasnya, keluaran ‘spin-off’ francais Far Cry ini tidak terikat dengan judul Ubisoft lain. Ia antara keluaran ‘original’ dan menampilkan latar masa yang jarang dieksploitasi sepenuhnya. Primal membawa anda memasuki dunia Oros apabila haiwan purba berada di kedudukan teratas dalam rantai makanan.

Sebagai satu-satunya pemburu yang kehilangan ahli puak, anda perlu memikul tanggungjawab Takkar untuk membina legasi yang belum pupus. Bahaya bukan saja tersembunyi di sebalik hutan belantara, namun ia hidup dalam hati manusia yang berkeliaran mencari mangsa. Justeru, anda perlu terus berjuang untuk hidup dalam dunia yang tiada keamanan dengan menambahkan ahli puak dan menguasai peperangan antara puak lain.

Seronoknya dalam keluaran akan datang ini, anda boleh mencipta senjata dan alatan daripada tulang haiwan yang diburu. Lebih menarik, elemen api digunakan untuk menakutkan pemangsa ataupun menambahkan kemahiran taktikal dalam serangan.

Berbeza dengan aktiviti pemburuan masa kini, Primal sentiasa memaksa anda selalu berhati-hati ketika memburu mangsa seperti gajah purba. Bau darahnya boleh menarik pemangsa lebih ganas seperti harimau purba yang ingin merebut hasil buruan anda.

Kesimpulannya, Primal menekankan konsep ‘survival’ dalam tema dunia terbuka yang kini diminati ramai. Far Cry Primal dijangka membuat kemunculan sulungnya pada 23 Februari tahun depan di pelantar Play­station 4, XBOX One dan PC.

Tom Clancy’s The Division

Jika diperhatikan, penggunaan tema teknologi canggih dalam permainan video boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Mana tidaknya, konsepnya boleh diubah mengikut daya imaginasi tanpa batasan dan ia dipenuhi robot serta senjata canggih.

The Division menepati tema ini seadanya dan membawa anda ke dalam dunia masa depan apabila sejenis virus menyebabkan sistem operasi di bandar raya New York tidak berfungsi. Anda sebagai ejen khas ditugaskan menyiasat dan mencari punca sebenar bagaimana virus itu merebak.

Berita baiknya, keluaran ini menekankan fungsi co-op atau multiplayer yang memerlukan anda meneroka bandar New York bersama ejen lain. Dalam kumpulan, anda akan bertembung dengan pelbagai musuh berbeza yang ingin mengambil kesempatan atas fenomena wabak berbahaya di bandar raya itu.

Difahamkan, ‘game’ ini membolehkan anda meng­ubah suai penampilan karakter dan meningkatkan kemahiran serta senjata. Dari segi senjata, ia dikuat­kuasakan de­ngan teknologi maju yang boleh membantu anda mematahkan strategi musuh. Justeru, pentingnya komunikasi antara rakan untuk memenangi setiap pertembungan dengan kecerdasan aktif (AI) dan pemain lain.

Kesimpulannya, The Division mengutarakan konsep dunia terbuka berteraskan kecanggihan teknologi yang digunakan untuk melenyapkan musuh dan memaksa pemain kekal berjuang dalam dunia masa depan apabila bahaya mampu beri kejutan pada bila-bila masa. Permainan taktikal dan strategi ini dijangka membuat kemunculan di pasaran bermula Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 7:46 AM