Hazril Md Nor

HAZRIL MD NOR yakin peminat Max Payne dan Alan Wake akan menyukai konsep terbaru yang diperkenalkan dalam Quantum Break.

Siapa sangka, eksperimen penjelajahan masa yang gagal kini mampu mengurniakan kuasa luar biasa berasaskan waktu. Oleh sebab itu, pengawalan masa dan menghentikan masa adalah hal yang mudah bagi Jack Royce, protagonis dalam siri terbaru Quantum Break eksklusif untuk Xbox One dan Windows.

Ia mungkin tampak klise, membuatkan anda terfikir akan permainan video Max Payne yang menampilkan konsep serupa.

Namun, Quantum Break berjaya mengubah formula pengawalan masa ke tahap lebih tinggi sekali gus menampilkan cabaran baru kepada pemain.

Di bawah kawalan Jack Royce, kuasa istimewa berkaitan pengawalan masa ini lebih serasi dengan mekanisme ‘cover shooter’, bukan hanya menghentikan masa dan menjatuhkan musuh dengan tiada kecederaan.

Anda berbekalkan senapang atau pistol yang boleh digunakan walaupun dalam keadaan statik.

Kuasa tiada tara

Pada mulanya, Jack mampu hentikan masa dan mematikan langkah penjahat sebelum melaksanakan aksi tembakan seterusnya. Selain itu, karakter anda mampu berlari sepantas Flash untuk ke lokasi kedudukan musuh.

Dari segi pertahanan, Jack dilengkapi kuasa dinamakan ‘time shield’ yang membolehkan dirinya menghentikan pergerakan peluru di udara. Untuk pengetahuan, pihak musuh iaitu Koperasi Monarch bukan saja memiliki askar yang ramai tapi juga fleksibel. Mereka akan menunduk jika ditembak dan cuba melaksanakan serangan taktikal untuk mematikan langkah anda.

Sebaik saja meneroka kuasa anda, Quantum Break memberikan gambaran pertempuran membabitkan pengawalan masa tidaklah membuatkan anda kebal tapi perlu sentiasa fokus agar tidak dicederakan kerana kuasa anda adalah terbatas.

Ubah kedudukan

Fasa permulaan permainan akan menempatkan anda dalam lokasi masa yang rumit. Sebagai contoh, anda perlu memutar kembali masa untuk membuka laluan apabila ia terhalang oleh sebuah trak.

Anda juga akan menjelajah ke kawasan ‘pembekuan masa’ apabila setiap objek, manusia dan letupan seolah-olah statik ataupun ke depan dan ke belakang. Jika anda mencari permainan yang membolehkan anda melintasi kawasan letupan sebelum ia berlaku, Quantum Break adalah jawapannya.

Cabaran demi cabaran

Sungguhpun dilengkapi kuasa tiada taranya, Jack tidak mewarisi kelajuan Lara Croft ataupun Nathan Drake. Anda hanya boleh memanjat sesuatu objek jika ada laluan yang hanya boleh dibetulkan oleh anda sendiri.

Semakin jauh anda mara, Monarch akan menghantar lebih ramai musuh dengan keupayaan teknologi canggih untuk menghalang misi anda menjejak antagonis Quantum Break yang ingin mengorbankan manusia untuk mengekalkan golongan terpilih saja.

Jika ada satu faktor utama perlu dipuji, sudah tentunya sentuhan grafik yang diaplikasikan dalam permainan ini. Visual sangat mengagumkan dan penggunaan kuasa juga diberikan sentuhan teliti yang mencerminkan permainan konsol alaf baru.

INFO

JENIS KUASA

• Time Dodge (Butang LB): Membolehkan anda mengelak diri daripada disasar oleh pihak lawan. Berguna di akhir permainan apabila anda dikelilingi musuh yang hebat.

• Time Blast (Tekan RB dan kekalkan): Kekalkan menekan butang semasa membuat sasaran pada pihak musuh dan lepaskan. Kuasa anda akan menyebabkan mereka terpelanting dan statik.

• Time Rush (Tekan LB dan kekalkan): Teknik ini membolehkan anda berlari pada kelajuan tinggi sementara orang sekeliling kekal statik. Seterusnya anda boleh kembalikan masa dan menembak mereka dari belakang.

• Time Stop (Butang RB): Hentikan masa dalam kawasan yang difokuskan. Ia membantu anda untuk lari dari musuh atau menghentikan peluru di udara.

• Time Shield (Butang B): Berikan anda kuasa perisai untuk menepis peluru mendatang dan pada masa yang sama membolehkan anda menembak mereka kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:42 AM