Oleh Hazril Md. Nor

Keluaran terbaru francais Resident Evil, Revelations 2 dirasakan berbeza dan unik. HAZRIL MDNOR kagum dengan usaha Capcom menyediakan permainan yang masih mengutamakan elemen seram.

Makin lama industri permainan video berkembang, ia mungkin ‘lari’ daripada landasan sebenar. Permainan video yang memegang judul ‘survival horror’ seperti Resident Evil misalnya mengalami transformasi mendadak yang lebih menjurus kepada aksi.

Namun, semua itu berubah apabila francais Resident Evil diperbaiki kandungannya dan diperkembangkan ke tahap lebih memuaskan. Versi Revelations yang pertama kalinya diperkenalkan pada 2012 lalu menandakan persinggahan daripada gaya permainan berteraskan aksi.

Dalam Revelations, ia menggambarkan bagaimana pemain berdepan dengan kejutan demi kejutan daripada mayat hidup yang muncul secara tiba-tiba. Bukan itu saja, atmosfera yang dirasakan sepanjang permainan mampu membuatkan anda berasa takut ditambah dengan muzik yang menyeramkan.

Pemain juga mempunyai bekalan peluru yang terhad justeru anda memerlukan ketepatan dan kebijaksanaan menggunakan senjata api pada saat yang benar-benar kritikal.

Selepas mendapat kritikan yang memuaskan dari pelbagai portal bebas luar negara, Capcom meneruskan lagi francais ini dengan mengeluarkan sekuel terbaru iaitu Revelations 2.

Tidak seperti keluaran pertama yang memfokuskan watak utama daripada Resident Evil, keluaran kedua memaparkan karakter yang kurang popular, namun masih ada identiti sendiri. Claire Red­field yang pernah membuat kemunculan dalam Resident Evil 2 dipilih sebagai watak utama kali ini dan digandingkan bersama Barry Burton dari versi asal Revelations.

Secara ringkasnya, gaya permainan Revelations 2 masih sama seperti keluaran pertama malah ditambah baik. Setiap babak dikeluarkan secara berperingkat (episodic) dari Februari hinggalah Mac baru-baru ini dan dipecahkan kepada dua jenis bahagian berbeza, A dan B.

Perubahan paling ketara boleh dilihat daripada ciri yang ditawarkan apabila koperasi antara pemain diperlukan. Dalam bahagian A, Protagonis Claire digandingkan bersama Moira Burton, anak kepada Barry manakala Barry Burton digandingkan dengan Natalia Korda, seorang gadis yang mempunyai kuasa ghaib dalam bahagian B.

Plotnya juga menarik dan penulis rasakan ia ada sedikit persamaan dengan permulaan Evil Within di mana protagonis ditangkap dan diletakkan dalam bangunan usang.

Permulaan bahagian A menyaksikan Claire dan Moira yang ditangkap dan dihumban ke penjara di sebuah pulau jauh dari bandar. Kedua-duanya diperhatikan oleh ‘Overseer’ yang berkomunikasi menerusi kod suara di ‘bracelet’ yang berada di pergelangan tangan mereka.

Bahagian B pula menampilkan karakter Barry Burton yang merantau ke pulau tersorok itu untuk menyelamatkan anak perempuannya, Moira selepas menerima isyarat dari menara radio.

Dari segi permainan, ia lebih kompetitif dan seronok jika dimain bersama rakan. Walaupun hanya Claire dan Barry dibenarkan menggunakan senjata api, Moira dan Natalia juga ada kelebihannya tersendiri.

Contohnya, Moira berupaya mengaburkan penglihatan lawan dengan memfokuskan lampu suluh dan mencari objek tersembunyi. Begitu juga dengan Natalia yang berupaya mengesan pergerakan musuh walaupun di sebalik dinding.

Setiap barang ditemui seperti botol kosong boleh digabungkan dengan bahan lain seperti kain untuk menghasilkan senjata sampingan hebat seperti ‘molotov’. Terdapat juga halangan ‘puzzle’ yang perlu diselesaikan untuk meneruskan permainan. Contohnya, pemain perlu mendapatkan bahagian mekanikal untuk menghidupkan mesin tertentu.

Keseluruhannya, Revelations berjaya mewujudkan gaya permainan baru di mana setiap pemain perlu berganding bahu antara satu sama lain untuk mara ke peringkat seterusnya. Pasukan Claire perlu melawan puluhan mayat hidup dan ketua musuh yang kuat manakala pasukan Barry perlu menyelesaikan ‘puzzle’ yang lebih rumit. Ia memberikan keseimbangan dan tidak memfokuskan satu objektif saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:46 AM