HAZRIL MD NOR kumpulkan empat permainan genre First Person Shooter (FPS) yang digilai ramai suatu ketika dulu. Yang mana satu pernah menjadi kegemaran anda?

Pada era 1990-an, wujud pelbagai ‘game’ yang asli dan masih berada dalam konsep asal. Ada antaranya daripadanya begitu popular sehingga mampu mencetuskan fenomena dalam industri permainan video suatu ketika dulu.

Metal Slug

Tembak-menembak adalah senario biasa yang diketengahkan dalam permainan video. Metal Slug bukan saja mengutamakan konsep ini malah mempopularkannya melalui pelantar arked yang digemari ramai suatu ketika dulu.

Sistem permainannya yang memfokuskan lari dan tembak sebenarnya mudah dimainkan setiap peringkat umur. Ia tidak memerlukan pemerhatian yang khusus dan refleksi yang cepat. Ia lebih terarah pada keseronokan berterusan yang memerlukan pemain menembak musuh sepanjang permainan dan mara selepas ketua musuh dikalahkan.

Walaupun tampak ‘simple’, Metal Slug mempunyai auranya yang tersendiri. Jenis senapang yang ditawarkan sepanjang permainan mungkin antara ciri yang paling diminati peminat. Daripada pistol biasa hinggalah senapang laser, setiap daripadanya mempunyai kekuatan tersendiri bergantung pada keadaan.

Counter Strike & Half Life

Kedua-dua permainan genre ‘First Person Shooter’ (FPS) ini tidak perlu diperjelaskan lagi popularitinya. Tanyalah sesiapa saja, semua pernah bergiat aktif dalam permainan legenda ini.

Popularitinya dicerminkan melalui sistem ‘multiplayer’ yang membolehkan pemain antara satu sama lain dalam dua kumpulan berbeza. Begitupun, setiap kumpulan itu mempunyai jenis senapang berlainan sekali gus mencipta suasana permainan yang lebih kompetitif.

Sniper antara senjata paling hebat yang boleh menjatuhkan musuh hanya dalam sekali tembakan di kepala. Cukup ikonik.

Bagi Half Life pula, senjatanya menawarkan lebih banyak fungsi jika dimainkan dalam mod ‘multiplayer’. Terdapat senjata berbentuk busur yang membolehkan pemain menyasarkan tembakan dan ‘bazooka’ yang boleh menjejaki kedudukan musuh.

House of the Dead

Satu lagi permainan arked yang popular dan ditransisikan kepada pelbagai pelantar. House of the Dead (HOTD) antara ‘game’ paling klasik puluhan tahun yang lalu.

Pemain bukan saja perlu menembak mayat hidup yang dicipta melalui eksperimen tapi juga berupaya berinteraksi dengan suasana dalam permainan. Contohnya, kotak ‘nyawa’ boleh dijumpai apabila tong ditembak dan terdapat juga yang boleh ditembak berulang kali untuk menambahkan markah.

Sudah tentunya elemen penguat bagi permainan ini ialah ketua musuh yang memberi kejutan kepada pemain. Setiap dari mereka mempu­nyai kelemahan, namun kebiasaannya ketua musuh terakhir tidak dikenal pasti kelemahannya. Mereka juga dinamakan berdasarkan ‘arcana’ dalam kad tarot.

Dari awal pengeluarannya, HOTD mengalami perubahan dari segi grafik dan gaya permainan sekali gus menjadikan ia lebih seronok. Lagipun, plotnya juga menarik dan mempunyai kaitan dalam setiap versi HOTD.

Time Crisis

Sesuai dengan namanya yang mengutamakan masa adalah segala-galanya, permainan arked Time Crisis mencabar pemain untuk bermain dengan bijak dan pantas.

Begitupun, ia dikuatkan dengan ciri perlindungan apabila pemain boleh memijak pedal di mesin permainan itu untuk menunduk dari ditembak. Menariknya, pemain perlu pantas membunuh kesemua musuh untuk mengelakkan permainan dari tamat disebabkan sistem masa yang diperkenalkan.

Time Crisis 4 menunjukkan pembaharuan apabila pemain boleh menggerakkan senapang sama ada pemain sedang menyorok atau bersedia untuk menyerang. Keluaran kelima pula menggunakan sistem ‘Unreal Engine’ yang menambah baik grafik dan memperkenalkan sistem permainan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:53 AM