Agak sukar untuk Sha memulakan penulisan ini kerana ia sumbangan terakhir Sha selepas sedekad mengendalikan kolum Cerita Artis Kita (CAK).

Bermula esok, Sha akan memulakan tugas baru di Meja Hiburan Harian Metro. Sepanjang sedekad bersama Metro Ahad, banyak ilmu dan pengalaman Sha kutip dan pastinya berat bagi Sha untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan yang sama-sama bertungkus lumus menyediakan pengisian terbaik buat akhbar hujung minggu ini.

Terima kasih Sha ucapkan kepada pembaca yang selama ini setia mengikuti CAK dan sudi berkongsi informasi. Sha ingin berkongsi cerita mengenai selebriti popular yang kontraknya sebagai duta satu produk bakal ditamatkan lebih awal daripada tarikh sebenar.

Cerita ini bukan rekaan kerana ia disampaikan mereka yang berada di acara yang sepatutnya dijayakan selebriti terbabit. Kata sumber, tulang belakang produk berkenaan kecewa dengan sikap tidak profesional artis berkenaan.

Sepanjang bekerjasama, macam-macam hal jadi, malah paling tidak dapat dimaafkan apabila artis itu tidak hadir ke sesi jelajah mempromosikan produk terbabit.

Sebagai duta, artis berkenaan sepatutnya ada, malah ia sudah termaktub dalam perjanjian dan dipersetujui bersama ketika menandatangani kontrak.

Bayangkan sudah diuar-uarkan kehadirannya dan ramai peminat menunggu untuk bertemu serta bergambar bersama, tiba-tiba dia tidak hadir. Memang naik hantulah tulang belakang produk berkenaan.

Sha dapat tahu dia juga pernah datang lambat ke acara promosi bergerak produk berkenaan. Tiga jam menanti barulah nampak batang hidungnya.

Artis itu bukanlah duta pertama mereka kerana sebelum ini sudah pernah bekerjasama dengan ramai artis popular dan rata-rata sangat komited. Tak ada pula yang banyak songeh seperti selebriti itu.

Lebih panas hati, selebriti itu minta dilayan macam puteri, segalanya mesti kelas A termasuk penginapan tetapi apabila sudah disediakan, dia tidak komited. Memang sengaja cari masalah.

Menurut sumber, dek kerana sikap divanya itu, pengurusan produk terbabit sudah tidak tahan dan mengambil keputusan untuk tamatkan kontrak. Meskipun masih berbaki enam bulan, mereka sudah tawar hati dan tidak mahu lagi bekerjasama dengan selebriti berkenaan.

Sha juga dengar cerita, pengurusnya pernah memaki hamun satu pihak yang ada kaitan dengan produk berkenaan dan disambung pula ‘majikannya’. Boleh bernanah telinga mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut selebriti berkenaan.

Tak sangka pula sebab kalau tengok personalitinya nampak sopan dan berhemah. Mungkin dia pun sudah terkena sindrom diva.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:08 AM