Baru-baru ini Sha menghadiri rakaman program popular, dapatlah beberapa cerita menarik untuk dikongsi di rua­ngan ini. Antaranya, peserta program realiti dihalau keluar dari rumah keluarga angkatnya.

Khabarnya, ketika menyertai program itu, keluarga seorang peserta mempelawanya tinggal bersama. Pada awalnya, baik-baik saja dan dia dilayan seperti anak sendiri. Kebetulan pula keluarganya tinggal jauh, jadi dengan keluarga angkat itulah peserta ini menumpang kasih.

Namun selepas beberapa ketika, kehadirannya seakan-akan kurang disenangi. Serba serbi ada saja yang tidak kena, seolah-olah dia menjadi bebanan kepada keluarga itu.

Sha difahamkan, keluarga peserta ini mengirim wang untuk perbelanjaan namun tidak banyak mana. Saban hari makin dingin layanan diterima hinggalah pada satu malam dia dihalau keluar dari kediaman itu. Malam itu juga dia terpaksa mengemas barangnya dan keluar dari situ.

Cerita itu akhirnya sampai ke pengetahuan produksi dan mula jadi buah mulut hinggalah sampai ke pengetahuan Sha dan beberapa rakan media.

Rata-rata terkejut dengan perkhabaran itu, apatah lagi mereka kenal keluarga peserta itu. Meskipun simpati dengan nasib peserta ini, mereka tidak boleh campur tangan.

Khabarnya, peserta itu kini menetap dengan saudara kandungnya yang masih menuntut di pusat pe­ngajian tinggi. Tak mengapalah, biar hidup susah daripada menumpang orang.

Sha harap peserta ini melihat kejadian itu dari sudut positif dan jadikan ia penyemarak semangat untuk lebih berjaya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:01 AM