Anugerah Tribute P Ramlee yang berlangsung Ahad lalu, mencatat 1,001 memori indah penganjur dan barisan pemenang. Di sebalik kegembiraan itu, terselit cerita kurang enak didengar yang akhirnya sampai ke pengetahuan Sha.

Seorang pelakon yang sepatutnya menjadi penyampai pada malam itu, Shaarnaz Ahmad dikatakan menarik diri pada saat akhir.

Alasannya, mahu pulang ke kampung dan selepas itu memaklumkan dia tidak dapat hadir kerana sudah lambat. Aik! Mana satu alasan yang menjadi penyebab dia tidak dapat hadir ke acara itu?

Apapun, tindakannya menyebabkan produksi kelam kabut mencari pengganti. Mujur Shah Jazle sudi menggantikan kekosongan. Kalau tidak, memang masaklah, acara sudah mahu berlangsung, artis pula tarik diri.

Jika benar apa yang disampaikan ini, kasihan produksi. Nak kata tak dibayar, Sha difahamkan ada token disediakan untuk artis yang terbabit menjayakan acara ini, termasuk penyampai.

Kata sumber, sepatutnya Shaarnaz bersikap profesional. Alasan diberi tidak kukuh, lebih-lebih lagi sudah lambat untuk hadir ke acara. Bukankah tarikh acara dimaklumkan ketika tawaran dikemukakan, kenapa mesti timbul istilah sudah lambat?

Kalau tidak boleh menggalas tanggunjawab itu, kenapa bersetuju ketika ditawarkan? Bukankah senang kalau cakap tidak berminat atau tidak boleh dari awal.

Sha hanya mendengar daripada sebelah pihak. Mungkin Sharnaaz ada penjelasan logik mengenai perkara ini. Sha tidak menolak barangkali ini salah faham atau mungkin kesilapan yang tidak di­sengajakan. Mungkin Sharnaaz ada jawapan mengenai perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:09 AM