AZAM Azmi (tengah) dihimpit dua pemain Sabah FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu. FOTO FB TERENGGANU FC
AZAM Azmi (tengah) dihimpit dua pemain Sabah FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu. FOTO FB TERENGGANU FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad tekad ingin mendapatkan semula prestasi terbaik selepas akhirnya diberi kepercayaan untuk kembali beraksi penuh di suku akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu.

Azam kembali berada dalam kesebelasan utama selepas dibelenggu kecederaan kaki sebelum ini dan mampu beraksi selama 90 minit untuk membantu TFC menang 4-0 ke atas Sabah FC.

Nyata, pemain muda berusia 23 tahun itu tidak mengalah untuk mendapatkan semula tahap kecergasannya dan akan terus berusaha berada dalam kesebelasan utama selepas ini.

"Alhamdulillah semakin hari saya semakin bersemangat untuk terus berlatih dan memberikan yang terbaik di atas padang selepas agak lama berehat akibat kecederaan.

"Saya tidak akan mensia-siakan peluang diberi jurulatih setiap kali turun beraksi dan tidak sangka dapat beraksi penuh tempoh hari untuk membantu pasukan raih kemenangan.

"Apapun, saya masih belum berpuas hati dan perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan momentum terbaik seperti biasa dan paling penting adalah perlu mengelakkan daripada sebarang kecederaan lagi selepas ini," katanya.

TFC ketika ini di laluan terbaik untuk ke separuh akhir Piala FA apabila membawa bekalan empat gol ke Sabah bagi aksi suku akhir kedua, Sabtu ini.

Namun, bakal beraksi di Stadium Likas, Azam menjangkakan aura berbeza selain perlawanan lebih sengit untuk dihadapi tanpa memandang rendah keupayaan anak buah Datuk Ong Kim Swee itu.

"Walaupun kita sudah ada empat gol untuk dibawa ke Sabah, tetapi kita masih ada 90 minit untuk memastikan kemenangan menjadi milik Terengganu, sekali gus layak ke separuh akhir.

"Apa sahaja boleh berlaku dan sudah tentu Sabah FC lebih bersemangat untuk kembali bangkit dan tidak akan memberi laluan mudah kepada kita.

"Tetapi, saya percaya Terengganu akan lebih waspada kali ini dan tidak akan melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:11 PM