Juhari Mohamad Nor
Juhari Mohamad Nor
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Insiden seorang bapa mengamuk di hadapan sekolah agama gara-gara rambut anaknya digunting tanpa keizinan dianggap mendukacitakan kaum guru dan ibu bapa.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, isu itu boleh diselesaikan secara harmoni dengan menggariskan tiga pendekatan.

"Kejadian sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana bagi saya, isu ini boleh diselesaikan secara harmoni dengan beberapa kaedah. Pertama, satu perjumpaan bersemuka antara pihak ibu bapa dan guru, di sini kita perlu mantapkan hubungan komunikasi antara kedua pihak secara bersemuka.

"Sama ada melalui perbincangan ataupun perjumpaan berkala dengan murid-murid yang kita rasakan perlu diberi perhatian.

"Ia membabitkan kes tertentu atau kes kesihatan yang perlu kita dapatkan maklumat daripada ibu bapa. Jadi saya rasa yang pertama sekali kita perlu mantapkan komunikasi bersemuka dengan murid itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua ialah mengadakan komunikasi secara teknologi kerana setiap sekolah mempunyai kumpulan WhatsApp antara kelas dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Jadi, bolehlah guru, guru kaunseling atau pihak pentadbir menghubungi dulu ibu bapa. Melalui kaedah ini mungkin dia lebih jelas sebelum boleh datang ke sekolah dan menyerang pihak guru," katanya.

Terdahulu tular seorang bapa mengamuk di hadapan sekolah agama gara-gara rambut anaknya digunting ustaz tanpa keizinan.

Guru itu berbuat demikian kerana pelajar terbabit melanggar peraturan dengan menyimpan rambut panjang.

"Rambut panjang tak masuk neraka, kau tahu tak? Rasulullah rambut macam mana? Aku tanya kau," tengking bapa pelajar itu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak semalam, lelaki itu datang ke sekolah dan memarahi guru di hadapan anaknya dan beberapa individu lain.

Juhari yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) berkata, perlu diambil kira juga hubungan secara bertulis.

"Pihak sekolah atau guru perlu menghantar surat kepada ibu bapa jika perlu. Ibu bapa perlu maklum mengenai apa yang sedang dirancangkan oleh pihak sekolah terhadap murid-murid yang terbabit.

"Dalam kes ini, saya berasakan mungkin ada salah faham yang mana maklumat disampaikan oleh murid itu tidak tepat sehingga menyebabkan bapa pelajar itu sanggup mengeluarkan perkataan seperti 'kerana rambut panjang boleh masuk neraka'.

"Jadi, saya rasa untuk mengharmonikan keadaan kita perlu memantapkan hubungan dengan pihak ibu bapa melalui komunikasi. Dari komunikasi bersemuka dan teknologi serta komunikasi secara bertulis. Semoga kejadian ini tidak berlaku lagi," katanya.

'Saya muat naik video itu untuk orang sedar, hormati guru'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:20 PM