Isy isy isy... terkejut Sha apabila dengar cerita terbaru rakan artis yang kaki auta ini. Bagi Sha, tindakan yang dibuat pelakon ini sungguh tidak patut.

Ketika berada dalam ke-sempitan, dia merayu rakan artis membantunya. Bukan main lembut lagi dia memujuk sahabatnya supaya meminjamkan sejumlah besar wang kepadanya.

Nak kata kawannya senang tak juga, tapi memandangkan tak sampai hati melihat keadaan artis ini, dikeluarkan sebahagian simpanan dengan harapan dapat meringankan beban insan yang melutut depannya.

Sebelum beredar, artis ini berjanji akan membayar kembali hutang itu.

Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji. Sampai masa sahabatnya mahu kutip hutang, macam-macam alasan diberi. Puas juga rakan artis itu menunggu tapi satu sen pun tak dilunaskan.

Sampai satu masa dia hilang sabar dan mula 'mengejar' artis ini. Tak pasal-pasal artis yang tak tahu malu ini pula naik angin hingga sanggup mengupah kaki pukul untuk menakut-nakutkan sahabatnya.

Namun di luar pengetahuannya, orang yang diupah itu kenal artis berkenaan dan boleh dikatakan rapat juga. Mana boleh kawan pukul kawan, jadi arahan itu diabaikan begitu saja dan perkara berkenaan dimaklumkan kepada artis itu.

Mahu tak terkejut? Artis itu tidak sangka orang yang melutut minta bantuan daripadanya sanggup mengupah orang memukulnya. Sepatutnya penghutang perlu malu apabila tidak dapat bayar hutang, bukan bersikap agresif seperti itu.

Lagipun wang yang dipinjam-kan bukan sikit, berpuluh ribu juga. Mahu tak sakit hati. Sejak kejadian itu, dia tidak percayakan artis ini dan cuba menjauhkan diri. Baginya, orang seperti itu tidak boleh dibuat kawan.

Sha sendiri tak sangka artis ini tergamak bertindak seganas itu. Walaupun air mukanya nampak garang dan tingkah lakunya boleh tahan baran, tak sangka dia akan bertindak sejauh itu.

Sha harap perkara ini dapat diselesaikan secara baik. Soal hutang tak boleh ambil mudah, jenuh nak menjawab di sana nanti. Jadi kepada artis ini, jangan melengah-lengahkan bayaran seperti mana yang dijanji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:00 AM