PASUKAN pencarian di kawasan jalan kebun berdekatan gagal menemui jejak orang hilang (gamber kecil) di Kampung Redan, Mela.Pic. FOTO Amir Hamzah Nordin.
PASUKAN pencarian di kawasan jalan kebun berdekatan gagal menemui jejak orang hilang (gamber kecil) di Kampung Redan, Mela.Pic. FOTO Amir Hamzah Nordin.
Amir Hamzah Nordin


Lipis: "Kelmarin, rantai manik yang kerap digunakan oleh abang ditemui di jalan masuk kebun, namun jejak abang langsung tidak jumpa," kata Fauziah Mat, 48, adik kepada lelaki orang kurang upaya dan mengalami masalah mental yang hilang sejak 26 Jun lalu.

Fuziah berkata, abangnya, Rosdan, 52, pernah hilang selama tiga hari pada 2016, tetapi dia kembali ke rumah dalam keadaan selamat.

"Namun, kali ini sudah lapan hari abang hilang, jejaknya langsung tidak ditemui.

"Sebelum kejadian kehilangannya, dia (abang) agak agresif dan akan mengambil apa juga barang yang ada di laluannya atau di sekitar rumah seperti penyapu atau kayu, tetapi dia tidak mencederakan orang.

"Saya harap abang dapat ditemui segera dalam apa jua keadaan kerana keluarga masih bersedih dengan kehilangan ibu yang meninggal Disember tahun lalu," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Usaha pencarian hari kelapan membabitkan 75 individu membabitkan pasukan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), orang kampung dan masyarakat Orang Asli Kampung Termetong.

Sementara itu, adik ipar Rosdan, Adnan Mat Isa berkata, kali terakhir dia melihat abang iparnya pada 26 Jun lalu ketika bersarapan di rumahnya.

"Saya menyedari kehilangan selepas mendapati abang tiada ketika memanggilnya untuk bersarapan pada 8 pagi pada 27 Jun lalu.

"Abang kerap tiada di rumah kerana berjalan di sekitar kampung ini memandangkan kebanyakannya adalah rumah adik beradik dan saudara mara sahaja.

"Sebab itu, kami sekeluarga tidak kisah sangat, tetapi selepas menyedari dia hilang pada hari kedua, kami mula mencari sekitar kampung dan sepanjang jalan masuk ke Kampung Redan dan jalan utama, namun abang tidak ditemui," katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:59 PM