Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Semua warga sebuah sekolah menengah di sini, menjalani ujian saringan tifoid atau demam kepialu susulan lima pelajar disahkan dijangkiti tifoid.

Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu menerusi satu surat pekeliling yang diedarkan kepada pelajar, memaklumkan ujian saringan itu bagi mengesan sama ada kakitangan atau pelajar lain turut mengalami gejala tifoid.

Menurutnya, gelaja tifoid iaitu demam, cirit-birit, sakit perut, muntah, loya, sembelit, sakit kepala, keletihan dan kurang selera makan.

"Gejala ini dikesan bermula dari 7 Mei lalu dan sehingga kini.

"Sehubungan itu, mesyuarat di Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memutuskan untuk menjalankan ujian saringan tifoid ke atas semua warga sekolah menengah itu untuk pengesanan awal kes.

"Ujian ini akan dijalankan secara berperingkat bermula hari ini sehingga selesai," katanya.

Media semalam melaporkan, lima daripada 22 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu disahkan dijangkiti tifoid atau demam kepialu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, seramai 17 pelajar lagi sedang disaring di bilik isolasi di Hospital Tumpat dan Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:57 PM