Dalam banyak-banyak cerita Sha dengar minggu ini, paling menarik perhatian adalah sikap pemurah selebriti lelaki ini.

Orangnya memang baik hati dan disenangi ramai. Walaupun popular, dia sentiasa merendah diri dan ramah dengan sesiapa saja. Pendek kata, dia senang didekati biarpun yang cuba menghampiri berbeza generasi.

Sha dapat tahu, meskipun sudah bercerai, dia tidak pernah mengabaikan kebajikan anak dan bekas isteri. Kebetulan bekas isterinya tiada pendapatan tetap dan dia tidak sampai hati membiarkan ibu kepada anaknya hidup susah.

Bagaimanapun, bantuan kewangan dihulurkan itu tanpa pengetahuan suri hidupnya sekarang. Selain memberi nafkah wajib kepada anak, apabila bekas isteri memerlukan wang, dia pasti beri.

Barangkali dia merahsiakan daripada pengetahuan isteri untuk menjaga hati dan mempertahankan keharmonian rumah tangga.

Yalah, niat artis ini mahu membantu namun andai dikhabarkan kepada orang rumah, tidak mustahil akan jadi bahan pertikaian.

Kalau sekali dua mungkin isterinya boleh pejam mata tetapi kalau kerap, silap hari bulan ada yang meletup bak bom atom.

Sha dapat tahu, kalau terdesak, bekas isteri artis ini akan menghubunginya. Dia pula jenis yang tidak sampai hati, selagi termampu pasti akan bantu.

Bukan bermakna dia masih ada hati dengan wanita itu tetapi melakukan perkara itu atas dasar membantu sesama manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:07 AM