Shuib
Shuib
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelawak popular, Shuib, 40, berharap rakan pelawak yang ditahan polis semalam dapat mengharungi ujian dihadapi dengan sebaiknya dan tabah kerana individu terbabit disifatkan seorang yang baik.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata, dia tahu berita penahanan itu malam tadi menerusi media sosial dan apabila memeriksa ruangan komen mendapati ia menjurus kepada 'seseorang' yang sangat dikenalinya.

"Malam tadi, saya nampak jugalah di media sosial (berita pelawak ditangkap) dan bila baca-baca di (ruangan) komen dengan gambaran diberi, saya kenal individu itu dan cuba juga menghubunginya.

"Saya 'call' (hubungi) dia, tapi tak dapat. Bagaimanapun, bila tahu macam itu saya sebenarnya tersentak jugalah sebab kawan saya. Ini kawan dan bila jadi benda begini, saya anggap ini ujian berat untuk dia, ujian besar untuk dia.

"Sebab, benda ini besar dan kes polis. Harap sangatlah benda ini, dia (pelawak) boleh 'handle'

(tangani) dengan baik. Insya-Allah. Semoga dia tabah," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia yang sangat mengenali pelawak terbabit turut mendoakan semoga baik-baik saja serta Allah permudahkan dan kuat termasuk akan cuba berhubung lagi kerana mereka ada perancangan projek kerja bersama.

Mengulas mengenai penyebaran maklumat di media sosial yang semacam sukar dikawal daripada pelbagai peringkat karier dan usia, Shuib berkata, ia sememangnya berlaku ketika ini dan tidak boleh dipandang remeh.

"Bila cerita mengenai media sosial, penyebaran maklumat dan apa yang kita 'share' (kongsi), itu bukanlah satu benda yang boleh dipandang remeh sebab kita tak tahu apa impaknya kepada orang lain, kepada negara mungkin, kena lebih berhati-hati.

"Memang kena 'double check' walau pun hanya 'copy' dan 'paste' atau 'repost'. Kena betul-betul pastikan apa yang kita nak kongsi itu. Jadi, kita kena ambil iktibar sebab saya pun pernah berhadapan situasi penyebaran maklumat palsu di media sosial sampai membabitkan mahkamah," katanya.

Menurut Shuib, apa yang perlu sebagai pengguna media sosial pada masa kini adalah lebih berhati-hati dan bijak untuk menyebarkan maklumat kebaikan dan inspirasi kepada orang lain.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pelawak serta isterinya direman dua hari bermula semalam, bagi membantu siasatan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram.

Difahamkan, pelawak berusia 38 tahun dan isterinya, 37, itu ditahan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Pada masa sama, telefon mereka turut dirampas bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:59 PM