Muhamad Shafiq didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, berusia 13 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah Inap Desa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Shafiq didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, berusia 13 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah Inap Desa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pemandu jentolak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada Mac lalu.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Aiman Ismail, 24, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah inap desa di sini, pada 10 malam, 22 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili Muhammad Zaem Ab Aziz.

Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Muhammad Zaem memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin memandangkan lelaki itu menjaga ibunya yang menghidap kencing manis dan kakinya sudah dipotong.

Muhammad Zaem berkata, tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa.

Mahkamah kemudiannyavmembenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 4 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:45 PM