RAJA Willem-Alexander (depan, tiga kanan) dan Schoof (depan, tiga kiri) bersama menteri baharu selepas majlis angkat sumpah. FOTO AFP
RAJA Willem-Alexander (depan, tiga kanan) dan Schoof (depan, tiga kiri) bersama menteri baharu selepas majlis angkat sumpah. FOTO AFP
Bernama-Xinhua

The Hague: Kerajaan baharu Belanda secara rasmi mengangkat sumpah pada Selasa di Istana Huis ten Bosch di sini, lebih 220 hari selepas pilihan raya umum pada November lalu.

Seramai 16 menteri baharu diikuti oleh 13 setiausaha negara mengangkat sumpah pada majlis itu, lapor Xinhua.

Kerajaan baharu dibentuk selepas rundingan intensif antara empat parti gabungan iaitu Party for Freedom (PVV), New Social Contract (NSC), People's Party for Freedom and Democracy (VVD) dan Farmer-Citizen Movement (BBB).

Pemimpin gabungan, termasuk pemimpin PVV Geert Wilders bersetuju bahawa tiada seorang pun daripada mereka akan menjadi perdana menteri.

Dick Schoof, penjawat awam terkemuka Belanda dan disokong oleh semua parti gabungan, dinamakan pada Mei sebagai Perdana Menteri baharu walaupun tidak menjadi ahli mana-mana parti politik.

Satu daripada tugas utama Schoof yang berusia 67 tahun dan kerajaannya adalah untuk membentuk dasar awam berdasarkan perjanjian gabungan.

Seperti yang digariskan dalam perjanjian itu, kerajaan baharu menyasarkan "rejim penerimaan pencari suaka yang paling ketat dan pakej kawalan migrasi paling komprehensif pernah ada."

Selain imigresen, kerajaan baharu Belanda akan memberi tumpuan kepada meningkatkan keselamatan sosial dan kuasa beli isi rumah, menggalakkan pembinaan perumahan dan transformasi tenaga, memajukan pembangunan pertanian untuk memastikan keselamatan makanan dan mengukuhkan keselamatan negara dan kerjasama antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:59 PM