Onn Hafiz (tengah) melancarkan Tabung Kasih Johor - Palestin di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Onn Hafiz (tengah) melancarkan Tabung Kasih Johor - Palestin di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Johor melancarkan Tabung Kasih Johor - Palestin khas dikelolakan Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri bermula hari ini.

Pelancaran tabung berkenaan dilancarkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak RM2.5 juta sasaran kutipan dibuat dalam tempoh dua bulan sehingga Ogos ini.

"Kutipan dibuat cara tunai menerusi tabung-tabung yang diletakkan di hampir 3,000 masjid dan surau seluruh negeri ini setiap Jumaat dan menerusi transaksi akaun yang akan dibuka dalam masa terdekat.

"Terdapat empat kaedah yang digunakan untuk pemberian sumbangan kepada saudara kita di Palestin. Kita juga memohon bantuan daripada Op Ihsan iaitu sebuah gabungan kemanusiaan yang diperakui oleh Kementerian Luar Negeri.

"Pertama bungkusan sumbangan dilakukan rakyat Johor menerusi sukarelawan yang akan dihantar menggunakan jalan laut, bungkusan sumbangan di sempadan Mesir-Gaza, pemberian khemah di bawah Perkampungan Johor di Gaza dan pemberian makanan panas di kem-kem pelarian," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Tabung Kasih Johor - Palestin di sini, tadi.

Dalam Majlis itu Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menyumbangkan RM500,000 kepada Tabung itu.

Menurut Mohd Fared, bantuan berbentuk masakan panas, khemah dan juga bungkusan daripada Mesir akan berjalan dahulu sebagai bantuan untuk menghadapi musim sejuk di Gaza, Palestin.

Manakala pembungkusan oleh sukarelawan Southern Volunteer dan Briged Aqsa akan dibuat secara gotong-royong di Johor, dan penghantaran itu dianggarkan berlaku pada pertengahan Ogos sempena bulan Kemerdekaan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:06 PM