DR Automobiles yang berpangkalan di selatan Itali memasang kenderaan kos rendah, menggunakan komponen yang dihasilkan pembuat kereta China. FOTO DR Automobiles
DR Automobiles yang berpangkalan di selatan Itali memasang kenderaan kos rendah, menggunakan komponen yang dihasilkan pembuat kereta China. FOTO DR Automobiles
Agensi

Rom: Kerajaan Itali mendenda sebuah syarikat kereta AS$6.4 juta (RM30.21 juta) kerana didakwa menjenamakan kenderaan buatan China sebagai keluaran Itali.

Menurut pengawal selia persaingan negara itu, DR Automobiles mengelirukan dengan memasarkan kereta yang kononnya dikeluarkan di Itali, sedangkan kebanyakannya dibuat di China.

Katanya, kereta di bawah jenama DR dan EVO syarikat itu dijual sebagai buatan Itali tetapi kebanyakannya berasal dari China.

"Hanya pemasangan kecil dan kerja-kerja kemasan dijalankan di Itali.

"Amalan ini bertepatan dengan tempoh di mana syarikat itu mencatatkan pertumbuhan ketara dalam jualan kenderaan DR dan EVO di pasaran Itali," kata pihak berkuasa itu.

Sementara itu, syarikat itu berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan denda itu kerana pihaknya tidak pernah mendakwa kenderaannya dibuat sepenuhnya di Itali.

DR Automobiles yang berpangkalan di selatan Itali memasang kenderaan kos rendah, menggunakan komponen yang dihasilkan pembuat kereta China iaitu Chery, BAIC dan JAC.

Denda itu ketika Itali dan Kesatuan Eropah (EU) secara keseluruhannya bertindak keras terhadap kereta yang dihasilkan di luar blok perdagangan.

Bulan lalu, puluhan kereta Fiat Topolinos buatan Maghribi dirampas di pelabuhan Livorno, Itali, kerana ia mempunyai lambang bendera Itali.

Syarikat induk Fiat, Stellantis berkata, ia mengikut peraturan tetapi sejak itu mengeluarkan bendera itu dari kenderaan berkenaan.

Minggu lalu, EU mengancam untuk mengenakan kenderaan elektrik China dengan cukai import sehingga 38 peratus, selepas ahli politik menggelarnya sebagai ancaman kepada industri permotoran di rantau ini.

Caj ini akan ditambah dengan kadar semasa sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import kereta elektrik China ke EU.

Sebagai tindak balas, China berkata tarif melanggar peraturan perdagangan antarabangsa dan menyifatkan penyiasatan itu sebagai proteksionisme.

Pengumuman itu dibuat selepas Amerika Syarikat bulan lepas menaikkan tarif ke atas kereta elektrik China daripada 25 peratus kepada 100 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:54 PM