LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh dan meminta tindakan tanpa kompromi diambil berhubung isu kecurian emas berhampiran Sungai Relai, Taman Negara Kelantan di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya menyelar tindakan itu yang dianggap mencuri harta rakyat dan sedang menunggu laporan lanjut dari pihak berkuasa.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat dan kerajaan negeri Insya Allah akan bagi kerjasama penuh, sekiranya ada, kita minta satu tindakan yang tegas diambil.

"Kita tidak berkompromi kerana itu adalah harta rakyat dan kita menunggu laporan, seterusnya minta pihak berkuasa laporkan kepada kita dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham Kelantan dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kerajaan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki warga asing diberkas pihak berkuasa selepas dikesan melakukan perlombongan emas secara haram di Sungai Relai.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dilaporkan berkata, kegiatan haram itu berjaya dibongkar hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) disertai empat pegawai Perhilitan, dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dua anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Aktiviti perlombongan emas haram bukanlah perkara baharu berikutan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan pernah menahan lapan orang termasuk empat warga asing kerana disyaki melombong emas secara haram di hutan simpan kekal (HSK) Sokor, Tanah Merah.

Suspek membabitkan lapan individu termasuk empat warga Bangladesh berusia 18 hingga 48 tahun didapati bekerja dengan sebuah syarikat yang sudah mendapatkan kelulusan, namun belum memperoleh lesen perlombongan emas.

Mohamed Fadzli berkata, aktiviti perlombongan yang ingin dilakukan mempunyai prosedur tertentu dan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Sesiapa sahaja nak melombong silakan tapi jangan cuba untuk melanggar peraturan yang mana sebarang perlanggaran peraturan yang tak diluluskan kerajaan negeri kita anggap sebagai perlanggaran undang-undang dan mencuri hak rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:34 PM