ANIRBAN kini di ranking ke-34 dunia.
ANIRBAN kini di ranking ke-34 dunia.

Augusta, AS: Anirban Lahiri sedar dengan tekanan dihadapinya apabila dia melakukan penampilan sulung pada kejohanan golf Masters AS, bermula esok.

Pemain berusia 27 tahun dari Bangalore itu layak ke kejuaraan utama pertama tahun ini selepas empat gelaran dalam tempoh setahun termasuk dua kejohanan yang turut diiktiraf bersama Jelajah Eropah, Terbuka Malaysia dan India.

Dia kini pemain nombor satu Asia dan berada di tangga ke-34 ranking dunia, kedudukan yang memastikan penampilan pertama di lapangan Augusta National yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.

Anirban percaya peningkatannya sejak dua tahun lalu mungkin membantunya kali ini.

“Saya fikir dalam tempoh 24 bulan terakhir, permainan saya meningkat ke beberapa tahap,” katanya selepas bermain di lapangan itu kali kedua semalam. “Secara teknikal, saya fikir peningkatan saya sederhana saja tidak terlalu mendadak.

“Tapi kami cuba meningkatkan beberapa aspek permainan terutama pukulan drive saya yang semakin tepat selain aspek mental.

“Perubahan paling ketara saya percaya mampu bersaing dan mengalahkan ramai pemain bertaraf dunia.”

Anirban akan muncul pemain ketiga India beraksi pada Masters AS selepas Jeev Milka Singh pada 2007, 2008 dan 2009 serta Arjun Atwal pada 2001. Pencapaian terbaik dirakam Jeev Milka apabila berkongsi tangga ke-25 pada 2008. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:28 AM