Aniq Durar.
Aniq Durar.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon, Aniq Durar, 31, yang berasal dari Kuching, Sarawak bersyukur apabila impian untuk menemukan agensi pengurusannya, Kolme Management dengan keluarganya di Sarawak tercapai baru-baru ini .

Aniq yang membintangi drama di slot Akasia TV3, Dua Darjat berkata, agensi pengurusannya memang tidak pernah berjumpa keluarganya walaupun mereka sudah bekerjasama sejak 2021.

"Mereka nak kenal lebih rapat. Itu memang cara mereka juga kerana sebolehnya mereka nak kenal keluarga sebab nak lebih mesra.

"Kalau nak kata tujuan mereka untuk minta restu dengan keluarga pun boleh juga. Macam saya, memang seorang diri di Kuala Lumpur. Keluarga pula di Sarawak. Sekurang-kurangnya mereka tahu dengan siapa saya bekerja dan beri restu.

"Selain itu, kita boleh dengar pandangan kedua-dua belah pihak berkenaan masa depan saya. Kolme Management juga nak cari peluang untuk saya berlakon dengan produksi di Sarawak," katanya.

Pelakon keturunan Melanau / Pashtun ini juga bersyukur dapat menghabiskan masa berharga bersama keluarganya dalam pertemuan itu.

"Saya gembira keluarga merestui pembabitan saya dalam lakonan. Saya berdoa agar dapat terus berkarya dan berlakon sehinggalah hari tua. Itu impian saya.

"Berkenaan bilangan peminat, saya gembira kerana jumlah mereka di media sosial makin meningkat. Ada juga bila saya jalan-jalan atau pergi keluar beli barang, ada yang tegur saya sebab tengok saya berlakon.

"Pengalaman ini memang sangat baru bagi saya. Saya harapkan lakonan saya dapat memberikan kesan dan mencantikkan lagi garapan skrip pihak produksi," katanya.

Dia kini menginginkan watak versatile seperti watak jahat ataupun watak seperti Klaus Hargreeves dalam Umbrella Academy.

"Selain itu, saya memang berminat untuk berlakon dalam genre sci-fi. Saya tahu Malaysia mungkin kurang sedikit genre itu tapi saya berharap akan ada rezeki di situ nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:22 PM