ANIRBAN mahu mencatatkan birdie di setiap lubang. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN
ANIRBAN mahu mencatatkan birdie di setiap lubang. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN
Oleh Saiful Affendy Sapran dan Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Sensasi India, Anirban Lahiri berharap dapat menebus kekecewaan pada Kejohanan Golf CIMB Classic bermula Khamis ini selepas terlepas kejuaraan pada musim lalu.

Anirban dilihat berpeluang untuk muncul juara apabila mendahului selama tiga pusingan berturut-turut, tetapi akhirnya tewas kepada juara bertahan dari Amerika Syarikat (AS), Justin Thomas pada hari terakhir.

Dia banyak melakukan kesilapan, antaranya melakukan quadruple bogey di lubang ketiga pada hari terakhir yang memberi kesan besar sekali gus sekadar berkongsi tempat ketiga.

“Saya rasa apabila mula bermain Khamis ini, apa yang perlu anda lakukan adalah untuk memperoleh keputusan paling baik.

“Selain itu, saya perlu mencatatkan birdie di setiap lubang kerana persaingan di sini sangat hebat dan anda perlu melakukan sebanyak mungkin birdie.

“Bagi saya tiada kedudukan yang selamat. Sebagai pemain kami perlu terus berusaha menjarakkan kedudukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas mengenai TPC Kuala Lumpur, Anirban mengakui ia lapangan yang banyak memberi kenangan indah kepadanya, terutamanya pada 2015 apabila memenangi Kejohanan Maybank Terbuka Malaysia.

“Saya sentiasa gembira apabila turun di lapangan ini kerana sudah biasa dan sangat selesa. Saya juga berasa cukup positif sepanjang minggu ini dan berasakan mampu beraksi dengan baik. Dengan banyak kenangan manis di sini, ia mungkin memberi kelebihan kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:03 PM