Datin Dr. Suzana Sulaiman dianugerahkan 'Top 50 Women in Education' pada majlis berprestij World Education Congress Awards 2024. FOTO IHSAN UITM
Datin Dr. Suzana Sulaiman dianugerahkan 'Top 50 Women in Education' pada majlis berprestij World Education Congress Awards 2024. FOTO IHSAN UITM
BERNAMA

Shah Alam: Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr Suzana Sulaiman dianugerahkan Top 50 Women in Education pada majlis World Education Congress Awards 2024 di Mumbai, India.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu sebagai mengiktiraf peranan Suzana sebagai pakar dalam bidang perakaunan pengurusan yang memberikan impak kepada pendidikan di UiTM, kerajaan Malaysia, dan organisasi antarabangsa seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountant (CIMA).

"Dengan lebih dari 33 tahun pengalaman mengajar dan latar belakang pendidikan dari United Kingdom dan UiTM, beliau memberi pengaruh signifikan kepada landskap pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Pengasas University FLAME Pune Prof Indira J Parikh merangkap Presiden Antardisha, sebuah organisasi bukan kerajaan yang komited untuk mewujudkan platform bagi individu dan institusi memfokuskan kepada transformasi, pembelajaran berterusan dan pembangunan.

UiTM dalam kenyataan sama memaklumkan Suzana yang dijemput untuk memberi syarahan di kongres berkenaan turut memperlihatkan pengaruh dan ketampakan UiTM dalam forum akademik antarabangsa.

"Sumbangan UiTM dalam menyediakan pendidikan yang cemerlang diiktiraf secara meluas. Universiti ini sentiasa menunjukkan keunggulan dalam bidang akademik, penyelidikan, dan kolaborasi antarabangsa. UiTM telah memantapkan kedudukannya sebagai institusi terkemuka dalam pendidikan global," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:25 PM