HAFIZH akan beraksi bersama Ducati Team Kagayama. FOTO JDT RACING TEAM
HAFIZH akan beraksi bersama Ducati Team Kagayama. FOTO JDT RACING TEAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan Ducati Team Kagayama menagih pengalaman yang ada pada pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dalam pelumbaan Kejohanan Dunia FIM Endurance di Suzuka yang berlangsung pada 19 hingga 21 Julai ini.

Hafizh Syahrin yang kini bersama JDT Racing Team akan bekerjasama dengan Ducati Team Kagayama pada perlumbaan yang akan berlangsung selama 8 jam di Litar Suzuka jepun dalam usaha mereka mencari kemenangan bermakna di sana nanti bersama jentera Ducati Panigale VR4.

Menerusi kenyataan rasmi JDT Racing Team di media sosial, pasukan Ducati Team Kagayama berterima kasih dalam surat berkenaan kepada pemilik pasukan yang juga pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

"Pengalaman berharga Hafizh dalam perlumbaan endurance dan pengetahuan tentang Ducati Panigale V4R adalah bonus tambahan dan akan meningkatkan peluang kami untuk memenangi perlumbaan," kata Ducati Team Kagayama.

Untuk makluman, Ducati Team Kagayama yang juga dikendali sebagai Kagayama Yukiomi meletakkan harapan cukup tinggi kepada Ryo Mizuno selaku pelumba utama sementara Josh Waters dari Australia sebagai pelumba kedua manakala Hafizh Syahrin pula bakal dipertaruhkan pelumba ketiga pada perlumbaan yang memasuki edisi ke-45 itu.

Sebagai rekod, pelumba berusia 30 tahun itu diberikan peluang menerusi wild card untik beraksi di Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Portugal dari 9 hingga 11 Ogos ini.

Pemilihan itu dilihat amat sesuai selepas dia mendahului carta kedudukan dalam kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Di perlumbaan berkenaan, Hafizh Syahrin bersama pasukan JDT Racing Team akan menunggang Ducati Panigale V4R, jentera yang mempunyai spesifikasi sama seperti digunakan penyandang juara dunia, Alvaro Baustista.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:31 PM