Pegawai Farmasi PRN, Adilah Mohamed Ariff.
Pegawai Farmasi PRN, Adilah Mohamed Ariff.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pusat Racun Negara (PRN) yang bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sebanyak 3,153 panggilan berhubung kes keracunan serta pendedahan kepada racun sepanjang tahun lalu dari seluruh negara.

Angka itu meningkat berbanding tahun 2022 yang mana sebanyak 2,913 panggilan diterima dengan paling ramai mangsa adalah kanak-kanak terutamanya berusia satu hingga empat tahun.

Pegawai Farmasi PRN, Adilah Mohamed Ariff berkata, PRN adalah badan kerajaan yang mengendalikan Pusat Panggilan Maklumat dan Nasihat Keracunan serta merekodkan data kes keracunan yang dirujuk oleh petugas kesihatan daripada pelbagai fasiliti kesihatan.

Katanya, maklumat itu penting bagi rujukan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan termasuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Terdapat juga panggilan daripada orang awam iaitu sebanyak 184 pada tahun lalu dan ia menunjukkan masyarakat semakin peka bagi mendapatkan khidmat nasihat awal daripada PRN," katanya.

Adilah berkata, antara kes yang biasa diterima ialah keracunan berpunca daripada kecuaian penyimpanan bahan seperti pemindahan bekas bahan kimia ke bekas lain seperti botol mineral dan akibatnya individu termasuk kanak-kanak terminum bahan itu.

"Ada juga yang mendakwa meletakkan label pada bekas mengandungi bahan racun tanpa menyedari kanak-kanak awal usia tidak tahu membacanya.

"Apatah lagi amalan mengumpan haiwan perosak menggunakan makanan yang digaul bersama racun juga meningkatkan risiko keracunan kepada bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa.

"Sebaiknya produk berasaskan bahan kimia beracun ini disimpan di dalam bekas asal di tempat berkunci dan jauh daripada capaian kanak-kanak, tambahan pula jika ia berwarna-warni sudah tentu menarik minat mereka," katanya.

Adilah berkata, selain bahan kimia, pemberian atau pengambilan ubat terlebih dos juga boleh menyebabkan keracunan terhadap individu.

Katanya, penggunaan dron sebagai teknologi terkini yang dimanfaatkan petani bagi meracun sawah misalnya juga boleh meningkatkan risiko pendedahan racun menerusi sebaran angin dan lebih buruk jika pengendalinya tidak memakai pakaian atau alat pelindung diri (PPE).

"Selain terminum produk pencuci serta termakan pelbagai produk kegunaan isi rumah seperti ubat gegat, terdapat juga kes kanak-kanak termakan ubat pelangsingan yang mengandungi bahan terlarang dan kita dapati mangsa mengalami gejala sukar tidur serta sawan.

Ada sebab jika sesuatu produk itu diharamkan di Malaysia dan bahan yang sangat toksik ini boleh menyebabkan mangsa sukar dirawat kerana dalam keadaan tertentu bahan aktif dan kuantitinya dalam produk itu tidak diketahui.

"Lambakan produk haram ini mudah didapati menerusi platform e-dagang atau pasar malam, boleh meningkatkan risiko keracunan kepada sesiapa saja yang menggunakannya," katanya.

Beliau berkata, bagi kes dua kanak-kanak termakan keropok dipercayai mengandungi racun, pihaknya mengesyaki ia mempunyai bahan aktif yang boleh menyebabkan sawan dan gangguan kepada sistem saraf pusat.

"Namun ujian analisis kimia boleh menentukan kandungan sebenar memandangkan produk itu tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia," katanya.

"Jika terkena racun dan keadaan mangsa stabil, langkah awal yang boleh dibuat ialah menghubungi PRN untuk bantuan pengenalpastian bahan racun serta cadangan tindakan susulan. Namun jika keadaan mangsa menunjukkan gejala serius, segeralah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"PRN boleh dihubungi menerusi talian 04-653 6999 yang beroperasi setiap hari antara jam 8 pagi hingga 10 malam dan 8 pagi hingga 5 petang ketika hujung minggu atau cuti umum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:33 PM