GAVIN harap dapat buat kejutan kepada pasukan Eropah.
GAVIN harap dapat buat kejutan kepada pasukan Eropah.
Firdaus Hashim


MENYEDARI kekuatan dimiliki pasukan Eropah dalam saingan Piala EurAsia memang sukar digugat, pemain golf nombor satu negara, Gavin Green berharap tuah Kelab Golf dan Country Glenmarie akan sekali lagi mengiringinya.

Gavin memenangi pelbagai kejuaraan ketika beraksi di peringkat amatur dan remaja sebelum ini di lapangan berkenaan.

Atlet berusia 24 tahun itu yang muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran Order of Merit Jelajah Asia tahun lalu akan membuat penampilan pertama bersama pasukan Asia dalam kejohanan berlangsung dari 12 hingga 14 Januari ini.

Menurutnya, kehadiran pemain ternama Eropah seperti Thomas Fleetwood, Tyrrell Hatton dan Ross Fisher pasti memberi cabaran getir buat pasukan Asia yang berhasrat menebus kehampaan tahun lalu selepas tumbang dengan jurang mata terlalu jauh.

“Ia sudah tentu bukan mudah menewaskan mereka (pasukan Eropah). Tetapi, lapangan ini menyimpan kenangan terindah buat saya setiap kali beraksi di sini.

“Saya harap tuah bermain di gelanggang tak sampai 10 minit dari rumah saya ini akan mengejutkan pasukan Eropah sekali gus membalas kekalahan tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu media di Kelab Golf dan Country Glenmarie, di sini, hari ini.

Pada edisi tahun lalu, Eropah menang dengan rekod membanggakan 18 1/2-5 1/2 untuk menjulang trofi buat kali pertama selepas edisi sulung 2014 menyaksikan keputusan berakhir seri 10-10 untuk berkongsi trofi berkenaan.

Gavin antara enam pemain akan membuat penampilan pertama dalam pasukan Asia yang turut dibarisi rakan senegara, Nicholas Fung; Yuta Ikeda dan Hideto Tanihara (Jepun); Li Haotong (China); Anirban Lahiri dan S S P Chawrasia (India).

Turut tersenarai tiga pemain Thailand, Poom Saksansin, Kiradech Aphibarnrat dan Phachara Khongwatmai selain Byeonghun An dan Sunghoon Kang, kedua-duanya dari Korea Selatan.

Pemenang lapan kali Jelajah Asia, Arjun Atwal dari India pula dipilih memimpin pasukan Asia selaku ketua pasukan.

“Kebanyakan mereka (pasukan Asia) akan mula tiba Ahad ini dan juga Isnin. Kami akan mula berlatih bersama bagi mencipta keserasian dan harap ia akan berjalan lancar.

“Walaupun, pasukan kami kali ini dibarisi rata-ratanya pemain muda tetapi masing-masing mempunyai pengalaman luas beraksi dalam kejohanan besar,” kata Gavin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:26 PM