PASANG beregu wanita negara, Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah, ketika sidang media pasukan badminton negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 di Akedemi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PASANG beregu wanita negara, Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah, ketika sidang media pasukan badminton negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 di Akedemi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yakin persiapan yang dilakukan ketika ini mampu mengatasi beberapa kelemahan menghantui mereka sebelum ini terutama dalam memanfaatkan peluang untuk mendapatkan kemenangan di hujung permainan.

Menurut Pearly, dia mengakui perkara itu sering menjadi sebab utama dirinya dan Thinaah tewas selepas gagal menggunakan peluang bagi mendapatkan mata penting untuk memenangi perlawanan meskipun kelebihan itu memihak kepada mereka.

Oleh itu, beregu nombor 13 dunia itu akan menjadikan pengalaman dalam kejohanan sebelum ini sebagai medan terbaik untuk belajar serta mengurangkan kesilapan dan meningkatkan kekuatan agar tidak lagi mengulangi perkara sama apabila bertemu pasangan utama dunia seperti Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China atau beregu nombor dua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

"Bagi saya pengalaman (faktor kemenangan) kerana di mata penting, mereka bermain dengan sangat baik dan pandai curi mata (penting). Ini yang kita perlu belajar dari mereka dan mereka sangat berpengalaman dalam situasi seperti itu (dapatkan mata di penghujung permainan).

"Kedua-dua pasangan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Saya fikir cabaran sebenar adalah apabila bertemu mereka di gelanggang dan sekarang kami hanya mahu fokus mata demi mata dan langkah demi langkah (semasa di Olimpik)," katanya kepada media.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky mengakui kelebihan Qing Chen-Yi Fan dan Ha Na-So Hee adalah dari segi pengalaman kerana pasangan berkenaan sering kali berhadapan situasi seperti itu dan bijak menggunakan kelebihan untuk menyerapkan tekanan berbanding dengan Pearly-Thinaah.

"Mereka begitu konsisten dalam setiap kejohanan besar dan kalau mereka kalah pun mungkin di final atau separuh akhir selain tewas kepada lawan yang ada pengalaman yang sama seperti mereka. Jadi pasangan itu sudah terbiasa berhadapan dengan situasi seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:09 PM