Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Justin Thomas (gambar) terus mempamer aksi cemerlang pada hari kedua Kejohanan Golf CIMB Classic apabila enam birdie dilakukan membantunya kekal selaku pendahulu dengan kelebihan dua pukulan pada saingan berlangsung di TPC Kuala Lumpur semalam.

Namun, juara bertahan dari Amerika Syarikat (AS) itu juga harus ‘berterima kasih’ kepada pemain sensasi India Anirban Lahiri yang pada awalnya berkongsi kedudukan pendahulu bersama Thomas sebelum mempamer prestasi merosot di lubang ke-18 apabila melakukan bogey berganda.

Keputusan itu menyaksikan Thomas mencatat enam bawah par 66 untuk 14 bawah par 130 keseluruhan selepas dua hari.

Anirban yang memenangi Terbuka Malaysia di lapangan sama awal tahun lalu mencatat enam bawah par 66 untuk keseluruhan 12 bawah par 132.

“Saya tidak begitu berpuas hati tapi tetap gembira kerana dapat menamatkan hari kedua dengan catatan yang baik.

“Saya juga berpuas hati dengan kualiti pukulan hari ini (semalam).

“Tiada catatan bogey sesuatu yang cukup baik. Saya tidak bermula dengan baik pada tujuh lubang pertama tapi selepas itu mula mempamerkan peningkatan,” katanya.

Sementara itu, Anirban pula mengakui kecewa dengan prestasinya, terutama apabila mencatat bogey berganda di lubang ke-18.

“Saya bermain dengan baik semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam).

“Hanya sangat kecewa apabila menamatkan saingan hari kedua dengan cara seperti ini.

“Apapun, saingan masih belum berakhir. Saya perlu kekal fokus pada baki saingan dua hari lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:13 AM