Pelakon dan Host, Sean Lee. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelakon dan Host, Sean Lee. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Kami sudah saling mengenali dan menjalin hubungan selama lapan tahun, sebelum sepakat melangkah ke alam perkahwinan baru-baru ini. Dia sudah melengkapkan saya," kata pelakon dan pengacara, Sean Lee, 30, mengenai kehadiran isterinya, Bay Doucet, 26 yang baru dikahwininya.

Pada 7 Julai lalu, Sean melangsungkan perkahwinan dengan Bay yang juga model dan pencipta kandungan di media sosial dalam majlis yang diadakan secara tertutup, di sini.

Sean berkata, dia dan isterinya berkenalan ketika usia mereka masih terlalu muda dan atas sebab itu perlu memberi masa kepada diri masing-masing untuk berusaha mengejar impian diinginkan.

"Sebenarnya bukan niat saya mahu merahsiakannya (hubungan cinta), tapi ia lebih kepada soal privasi dan peribadi. Bagaimanapun, perkara ini (bercinta) tidaklah terlalu rahsia sebab kami pun tetap keluar 'dating' macam biasa.

"Cuma, saya perlu berterima kasih kepada mereka di luar sana yang mungkin pernah nampak kami keluar bersama, namun tidak dikongsikan di mana-mana platform media sosial untuk memberikan kami privasi itu," katanya.

Menurut Sean, tempoh perkenalan yang lama dengan isterinya juga ada pasang surut dalam perhubungan, namun mereka saling menghormati serta sangat menjaga privasi sesama sendiri.

"Isteri saya seorang yang 'introvert' serta sangat menjaga privasi dan dunia kami berbeza. Cuma, saya faham keadaan dirinya dan juga saya hormat keputusan dia bersama keluarga untuk kami simpan kisah privasi (percintaan) kami ini sebaik-baiknya.

"Sejak dari awal lagi, kami berdua juga sudah setuju dengan prinsip 'date to marry'. Kami tidak anggap kami berkenalan bukan untuk serius. Jadi, lapan tahun itu kami berikan masa untuk masing-masing pastikan inilah orang yang betul sebagai pasangan hidup," katanya.

Menurut Sean, dia melihat penting untuk mengenali seseorang dalam tempoh lama, apatah lagi sebagai pasangan hidup kerana perhubungan yang dibina itu untuk kekal bersama dan bukan putus di tengah jalan atau lepas kahwin, bercerai.

Katanya, kini dia sangat lega apabila akhirnya dapat berkongsi mengenai hubungan istimewa bersama Bay yang diakui sangat menyeronokkan dan membahagiakan mereka.

Sean berkata, dia dan Bay juga banyak berhubung secara atas talian pada awal perkenalan mereka memandangkan wanita kesayangannya itu melanjutkan pengajian di Australia.

Baru-baru ini, tanpa memberi 'hint' untuk berkahwin, Sean terus berkongsi gambar majlis perkahwinannya dengan Bay yang berdarah kacukan Cina-Amerika Syarikat di Instagram yang menjadi perhatian ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:16 PM