GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Tiga banduan akhir yang disabitkan membunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu, 22 tahun lalu, terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikan dengan hukuman penjara 38 tahun.

Mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya di mana bukti yang diperoleh menunjukkan mangsa ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam 12 Februari 2002.

Melalui keputusan pada 2 April lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan semakan ketiga-tiga pemohon untuk mengetepikan hukuman mati.

Mereka ialah bekas eksekutif jualan, Azizul Azual Jailani, 40, dan Sulkarnain Alias, 46, serta bekas pemandu forklif, Noorman Ab Wahab, 45.

Panel itu memerintahkan hukuman penjara terhadap Azizul Azual berkuatkuasa daripada tarikh tangkap iaitu pada 17 Februari 2002 manakala Sulkarnain dan Noorman bermula pada 16 Februari 2002.

Bagaimanapun pada prosiding semakan itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan terbabit dengan alasan nyawa Bakarudin diragut dengan cara yang amat kejam, ngeri dan ganas apabila petrol digunakan sehingga menyebabkan 70 peratus tubuhnya terbakar sebelum ditinggalkan dalam parit.

Menurut How dalam hujahannya berkata perbuatan itu sudah dirancang terlebih dahulu apabila senjata dibawa bersama ketika ketiga-tiga pemohon bertemu dengan mangsa pada malam kejadian.

Beliau berkata, mangsa dipukul sebelum ditikam dan ditetak menggunakan pedang sehingga mengalami 13 kecederaan termasuk luka tetakan berukuran 14 sentimeter di kepala yang merosakkan otaknya.

Katanya, Azizul Azual (pemohon pertama) memainkan peranan penting kerana bertanggungjawab membawa senjata ke tempat kejadian dan individu pertama menyerang Bakarudin dengan menendangnya sehingga mangsa terjatuh.

"Sulkarnain (pemohon kedua) pula berperanan mengatur pertemuan dengan mangsa menerusi bantuan teman wanitanya. Dia bertindak mencekik leher mangsa, menetaknya beberapa kali, membakarnya menggunakan petrol dan mencuri dompetnya selain cuba mengeluarkan wangnya melalui mesin ATM.

"Noorman (pemohon ketiga) pula turut memainkan peranan dalam pembunuhan itu dengan meletak pedang di leher mangsa dan membantu membakarnya dengan petrol," katanya.

Sementara itu, peguam Abdul Rashid Ismail bagi pemohon pertama dan Datuk C Vignesh Kumar yang mewakili pemohon kedua dan ketiga, memohon mahkamah menimbangkan bahawa anak guam mereka adalah pesalah muda.

Mereka menghujahkan, mahkamah perlu mengambil kira faktor bahawa Bakarudin terlebih dahulu mengganggu teman wanita Sulkarnain berkali-kali menyebabkan lelaki itu mahu bersemuka dengan mangsa bagi menghentikan gangguan terhadap kekasihnya.

Menurut peguam, pembunuhan itu bukan dirancang sebaliknya berlaku atas unsur provokatif kerana mangsa mengganggu teman wanita Sulkarnain dan langsung tidak berasa bersalah atau memohon maaf atas perbuatannya.

Sulkarnain, Noorman dan Azizul didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas tuduhan membunuh Bakarudin di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pada jam 9.30 malam, 12 Februari 2002.

Pada mulanya, empat orang menghadapi pertuduhan membunuh tetapi Mahkamah Tinggi pada 2007, membebaskan tertuduh keempat, juga bekas pelajar IKN, tanpa memanggilnya membela diri.

Bekas teman wanita Sulkarnain dan bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam juga menghadapi pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan tanpa dilepaskan daripada tuduhan itu pada 2003 selepas pihak pendakwa menawarkannya menjadi saksi.

Pada 23 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga lelaki terbabit selepas sebulat suara menolak rayuan akhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 5:11 PM