Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Bersahaja, tenang dan keazaman tinggi dipamer Anirban Lahiri membolehkannya bergelar juara baru Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015.

Catatan 68 dengan 16 di bawah par untuk mengumpul 272 pukulan keseluruhan membolehkan pemain India itu meraih wang kemenangan AS$500,000 (RM1.5 juta) dalam saingan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, semalam.

Lahiri melonjak empat anak tangga mengenepikan cabaran pendahulu keseluruhan, Bernd Wiesberger dengan kelebihan satu pukulan di depan pemain Austria itu yang mencatat dua atas par 273.

Paul Waring dari England dan Alejandro Canizares dari Sepanyol berkongsi tempat ketiga bersama, mencatat 275.

Juara bertahan, Lee Westwood dari England yang beraksi dalam keadaan agak tertekan, berada di tangga kelima dengan 277 pukulan.

Cabaran Wiesberger musnah selepas melakukan bogey lubang ke-17 yang memberi kelebihan kepada Lahiri merangkul gelaran sulungnya dalam kejohanan Jelajah Eropah.

Lahiri merakam empat birdie pada lubang pertama, ketiga, empat dan lima serta serta dua lagi pada lubang 10 dan 17.

Pemain ranking ke-73 dunia berusia 28 tahun pernah memenangi lima kejohanan antarabangsa.

“Sejak bergelar pemain profesional pada 2007, saya sentiasa mahu bermain dalam kejohanan besar di lapangan berprestij dan memiliki reputasi.

“Saya pernah menjuarai tiga kejohanan tempatan di India serta kejohanan antarabangsa di Indonesia dan Macau, tetapi menjuarai Terbuka Malaysia adalah cukup istimewa kerana saingan ini menampilkan barisan pemain profesional antarabangsa terkuat pernah saya hadapi.

“Impian saya sekarang adalah bermain kejohanan Masters selepas menempatkan diri dalam 40 kelompok teratas,”katanya.

Pemain dari Bangalore itu berkata: “Saya berterima kasih kepada bapa yang tetap akan mengirimkan teks sama ada saya bermain buruk atau sebaliknya. Ia bukan kejayaan untuk saya seorang, tetapi semua membantu saya mencapai tahap ini.”

Kali terakhir pemain India bergelar juara Terbuka Malaysia adalah menerusi Arjun Atwal pada 2008 selepas kejayaan sulung pada 2003.

Piala kejohanan serta replika cek hadiah kemenangan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:32 AM