PEMAIN KL City FC berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN KL City FC berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO AZRUL EDHAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya RM1 juta akan disalurkan segera oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membantu dan meringankan beban pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) yang tidak menerima gaji sejak awal musim ini.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Pengarah Kuala Lumpur United, Syed Yazid Syed Omar yang mengakui jumlah bantuan itu akan dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tunggakan gaji selama dua bulan dihadapi barisan pemain KL City.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) itu lagi, hasil pertemuan dengan DBKL dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa membuahkan hasil dan dijangka pembayaran itu akan mula dikreditkan ke akaun pemain dalam masa terdekat.

"InsyaAllah dalam masa terdekat akan selesai sekurang-kurangnya tunggakan dua bulan. Tunggakan pemain tak sama, ada yang tertunggak tujuh bulan dan ada juga lima bulan, empat bulan atau tiga bulan.

"Terima kasih kepada Datuk Bandar DBKL dan Menteri yang sama-sama membantu meringankan masalah pemain ini.

"Kita harap dengan pembayaran tunggakan ini dapat menaikkan semangat pemain untuk terus berikan aksi terbaik dalam saingan liga nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, KL City berdepan risiko 'tutup kedai' atau hilang daripada radar saingan Liga M jika isu tunggakan tidak berjaya diselesaikan hingga hujung musim ini.

Ia susulan pendedahan pemain naturalisasi negara, Paulo Josue yang mengakui tidak menerima gaji sejak Januari lalu atau lebih tepat bermain bola sepak 'secara percuma' sejak tujuh bulan lalu.

Arena Metro turut mendedahkan isu sebenar disebalik masalah itu apabila mantan Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad akui ia berlaku disebabkan permainan 'politik kotor' yang sanggup menahan dana pasukan selagi tidak dilantik sebagai Presiden KLFA.

Difahamkan, pemberian wang RM1 juta itu adalah sebahagian daripada geran bantuan sebanyak RM5 juta yang ditandatangani antara DBKL dan KL City sebelum ini.

Langkah memberian awal RM 1 juta itu dianggap penting dalam memulihkan kembali motivasi pemain menjelang aksi Liga Super berdepan Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:19 PM