MARK Adam. FOTO Hairul Anuar Rahim
MARK Adam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ramlah Zainal


Putrajaya: Penyanyi dan pelakon, Mark Adam, 45, yang pernah mengalami kerugian hampir RM500,000 kerana ditipu kontraktor pembinaan yang gagal menyiapkan kediaman keluarga mentuanya kini lebih berhati-hati untuk mengambil kontraktor baru dan tidak mahu tertipu lagi.

Mark berkata, dia dan isterinya, Norazah Redzuan sudah reda dan 'move on' selepas menjadi mangsa penipuan kontraktor pembinaan sebanyak dua kali sebelum ini.

"Kali ini, kami pastikan projek pembinaan kediaman keluarga mentua tidak tertangguh atau tertipu lagi," katanya.

Ditanya mengenai kediaman itu, Mark berkata, dia kini berusaha mencari wang untuk menghabiskan projek rumah terbengkalai berkenaan.

"Insya-Allah, kami sudah ada perancangan untuk menyiapkannya dan ada dua pilihan kontraktor tempatan setakat ini.

"Rumah keluarga mentua ini pada asalnya setingkat dan kami mahu ubahsuai menjadi kediaman dua tingkat atau banglo yang selesa untuk ahli keluarga nanti.

"Kami juga sudah berbincang dengan dua kontraktor lain dan ia membabitkan kos sebanyak RM200,000 hingga RM300,000," katanya.

Mark berkata, dia kini menyewa kediaman yang selesa di Ukay Perdana sementara menanti projek rumah itu siap.

"Bapa mentua sudah meninggal dunia dua bulan lalu dan kini ibu mentua dan anak saudara tinggal sekali bersama kami.

"Bila kami keluar bekerja, ada anak saudara yang menjaga ibu mentua dan 25 ekor kucing yang dipelihara di rumah," katanya.

Terdahulu, Mark meluahkan perasaan terkilan selepas kontraktor yang bertanggung-jawab membina kediaman mentuanya melarikan diri hingga kerja pembinaan terbengkalai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:01 PM