RADHIKA Merchant (kanan) dan tunangnya, Anant Ambani, ketika upacara sangeet di Mumbai. FOTO AFP
RADHIKA Merchant (kanan) dan tunangnya, Anant Ambani, ketika upacara sangeet di Mumbai. FOTO AFP
AFP

Mumbai: Kim dan Khloe Kardashian antara selebriti global yang berada di India pada Jumaat untuk menghadiri majlis perkahwinan mewah selama tiga hari yang dihoskan oleh lelaki terkaya Asia, Mukesh Ambani.

Anak bongsu Ambani, Anant dan tunangnya, Radhika Merchant, kedua-duanya 29 tahun, akan berkahwin hujung minggu ini di ibu kota kewangan Mumbai, beberapa bulan selepas parti praperkahwinan mereka yang menetapkan tanda aras baharu dalam kemewahan perkahwinan.

Sambutan awal termasuk pelayaran Eropah untuk 1,200 tetamu, kuil Hindu yang dibina khas di rumah nenek moyang keluarga Ambani dan persembahan peribadi oleh bintang, Rihanna dan Justin Bieber.

Keluarga Kardashians adalah yang terbaru dalam barisan panjang VIP asing dan terkenal yang membuat penampilan pada majlis perkahwinan pasangan berkenaan.

Kakak Kim berkongsi di Instagram yang menunjukkan keretanya dikerumuni jurugambar India sejurus selepas ketibaannya, dan kedua-dua adik-beradiknya menerima kalungan bunga daripada kakitangan di hotel mewah mereka.

Bekas perdana menteri Britain, Boris Johnson dan Tony Blair juga dilihat oleh wartawan yang tiba di lapangan terbang Mumbai, sebelum pesta bermula lewat pada Jumaat.

Jun lalu, pasangan itu memulakan pelayaran Mediterranean selama empat hari, di mana penyanyi Katy Perry membuat persembahan di majlis di sebuah chateau Perancis di Cannes.

Persembahan termasuk daripada The Backstreet Boys, penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Pitbull dan tenor Itali, Andrea Bocelli turut menyediakan hiburan.

Tetamu di majlis-majlis sebelumnya termasuk pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan anak perempuan bekas presiden AS, Donald Trump iaitu Ivanka, bersama-sama dengan selebriti dunia sukan dan hiburan India.

Bapa Anant, Mukesh ialah pengerusi Reliance Industries, sebuah konglomerat yang diasaskan keluarga yang berkembang menjadi syarikat terbesar di India mengikut modal pasaran.

Beliau adalah orang ke-11 terkaya di dunia dengan kekayaan lebih daripada AS$113 bilion, menurut Forbes, dan tidak asing lagi untuk membuat kenyataan mengenai perkahwinan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 4:21 PM