Kuala Lumpur: Pemain nombor lima dunia Caroline Wozniacki (gambar) akan menyertai Kejohanan Tenis Terbuka BMW Malaysia 2015 di Kelab Golf Diraja Selangor dari 2 hingga 8 Mac.

Menurut penganjur, Caroline, 24, pernah memenangi 22 kejuaraan perseorangan Persatuan Tenis Wanita (WTA) sepanjang kariernya dengan mengumpul wang kemenangan RM68.12 juta (AS$19 juta).

“Tahun lalu Caroline berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 pemain terbaik bagi tujuh tahun berturut-turut. Dia juga menamatkan New York City Marathon 2014 dengan catatan masa tiga jam 26 minit dan 33 saat pada November lalu,” menurut kenyataan itu.

Turut menyertai kejohanan kali ini pemain ke-17 dunia, Carla Suarez Navarro dari Sepanyol, Casey Dellacqua (Australia), Jarmila Gajdosova (Slovakia), Hsieh Suwei (Taiwan) dan Zarina Diyas (Kazakhstan).

Malaysia pula diwakili Jawairiah Nordin, 24, pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai RM900,000 (AS$250,000).

Antara kemuncak kejohanan adalah ceramah motivasi oleh bintang tenis berkerusi roda Belanda yang sudah bersara, Esther Vergeer, pemenang empat pingat emas acara perseorangan wanita sukan Paralimpik.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:16 AM