Kuala Lumpur: Pemain Australia Casey Dellacqua (gambar) berharap dapat memberikan impak positif dalam penyertaan ketiganya di Kejohanan Tenis Terbuka BMW Malaysia yang akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Selangor, dari 2 hingga 8 Mac.

Pemain ke-35 dunia itu berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan Persatuan Tenis Wanita (WTA) musim ini dan meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pemain wanita terbaik dunia.

“Tahun lalu, saya mara ke suku akhir kejohanan berprestij Indian Wells (di Amerika Syarikat) selain beberapa kemunculan di separuh akhir, tapi saya mengimpikan gelaran kejuaraan,” kata Dellacqua yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-30 minggu lalu.

Sambil menyatakan sudah membuktikan kemampuannya untuk bersaing tahun lalu, pemain itu mengakui perlunya meningkatkan prestasi.

“Saya mampu berada dalam kelompok 10 terbaik,” kata Dellacqua yang bertanding di kejohanan itu pada 2012 dan 2013, dalam kenyataan dikeluarkan penganjur Carbon Sport Sdn Bhd semalam.

Casey mencapai tahap membanggakan pada dua kejohanan Grand Slam tahun lalu dengan mara ke pusingan keempat Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat dan separuh akhir Aegon Classic dan suku akhir Pan Pacific.

Pencapaian itu membolehkannya menempatkan diri dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia pada 2014, meningkat daripada kedudukan ke-100, tahun sebelumnya.

Namun, beliau masih mencari-cari rentak selepas tewas pusingan awal di tiga kejohanan - Terbuka Australia, Terbuka Hobart dan Terbuka Dubai.

Terbuka BMW Malaysia 2015 yang diiktiraf WTA dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$250,000 (RM$911,750). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:39 AM