Kuala Lumpur: Pemain wanita negara Jawairiah Noordin akan mewakili Malaysia dalam undian utama Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 di Kelab Golf Diraja Selangor dari 2 hingga 8 Mac.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 24 tahun itu akan beraksi dalam acara perseorangan serta akan memilih gandingannya bagi beregu.

Menurut kenyataan pihak penganjur semalam Jawairiah meraih tempat dalam undian utama selepas memenangi Sirkit Masters Kebangsaan BMW, November lalu.

Jawairiah yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN ke-17 di Palembang, Indonesia, tahun lalu, membuat penampilan sulung Terbuka Malaysia pada 2010 dalam acara beregu bersama pemain Vietnam, Huỳnh Phương Đài Trang.

Bagaimanapun, pasangan itu tewas pusingan pertama kepada gandingan Vitalia Diatchenko (Rusia)/Chanelle Scheepers (Afrika Selatan).

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, S Theiviya, 21, mendapat tiket wildcard untuk beraksi dalam pusingan kelayakan acara perseorangan.

Tahun lalu, wakil tunggal negara dalam undian utama, Aslyssa Boey gagal melepasi pusingan pertama.

Kejohanan yang diiktiraf Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) itu menawarkan jumlah hadiah wang tunai AS$250,000 (RM911,750). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 7:14 AM