AFP

Johannesburg: Graeme Storm (gambar) dari England menewaskan pemain Ireland Utara Rory McIlroy menerusi aksi play-off kelmarin untuk menjuarai Terbuka Afrika Selatan 83 hari selepas gagal memenangi kad Jelajah Eropah.

Storm, 249 anak tangga di bawah McIlroy dalam ranking dunia, mendapat hak untuk bertanding selepas pemain Amerika Syarikat Patrick Reed diketepikan kerana tidak menyertai kejohanan mencukupi musim lalu.

“Impian jadi kenyataan. Semua pengalaman minggu ini sungguh menakjubkan,” kata Storm selepas meraih kejayaan di Glendower Golf Club, Johannesburg.

“Saya juga perlu berterima kasih kepada Patrick Reed. Saya mendapatkan kad permainan kerana dia tidak menyertai kejohanan mencukupi dan saya menyambut peluang kedua dengan tangan terbuka.”

“Saya terkejut,” katanya selepas menjuarai kejohanan yang kali pertama dipertandingkan pada 1893 dan kejohanan kedua tertua selepas Terbuka British.

“Apa yang boleh saya katakan ia bagaikan mimpi. Saya baru saja menewaskan pemain golf terbaik dunia ketika ini.”

McIlroy yang tewas berkata: “Memanglah mengecewakan apabila menduduki tangga kedua tapi Graeme bermain dengan baik sepanjang minggu dan itulah kisah terbaik untuknya.

“Dia sangka kehilangan kadnya pada akhir tahun lalu dan kini dia berdiri dengan trofi selepas kejohanan pertama tahun ini. Saya bangga dengannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:57 AM