MCILROY membaca green lubang ke-18 di Quail Hollow, awal pagi tadi. — FOTO AFP
MCILROY membaca green lubang ke-18 di Quail Hollow, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

BINTANG Ireland Utara, Rory McIlroy kembali ke zon selesa pada Kejuaraan Wells Fargo, merakam lima bawah par 66 awal pagi tadi untuk berkongsi status pendahulu pusingan pertama bersama Joel Dahmen.

McIlroy meraih kejuaraan sulung karier dalam Jelajah PGA AS di lapangan golf Quail Hollow pada 2010 dan dia pemain tunggal memenangi kejuaraan itu dua kali.

Selepas mencatat par pada sembilan lubang pertama, McIlroy melonjak dalam carta pendahulu selepas sembilan lubang kedua di Charlotte, North Carolina dengan lima bawah par 31 susulan lima birdie dalam tujuh lubang.

“Lapangan ini mengalami perubahan sejak kami datang ke sini, tapi setiap kali mereka mengubah sesuatu, ia masih tempat yang sama dan saya amat menggemarinya,” kata McIlroy.

REED antara lima pemain ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu bersama. — FOTO AFP
REED antara lima pemain ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu bersama. — FOTO AFP

“Saya fikir ia lapangan gol paling asli kami bermain sepanjang tahun dari segi persiapan dan cara ia dirawat.

“Satu perasaan yang amat bagus mengenainya. Saya sering kali berasa selesa di sini. Jelas saya mempunyai banyak memori indah.”

McIlroy berkongsi tangga ke-21 pada Masters AS tahun ini selepas berada dalam kelompok 10 teratas bagi tujuh kejohanan PGA berturut-turut. Sepanjang tempoh itu dia memenangi Kejuaraan Pemain buat kali pertama.

Ia kali kelima McIlroy mendahului selepas satu pusingan di Quail Hollow, sekali gus mengatasi Tiger Woods bagi rekod sepanjang zaman.

Anehnya, McIlroy tidak muncul pendahulu pusingan pertama bagi dua kemenangannya di Wells Fargo. Dia ketinggalan lima pukulan pada 2015 dan tujuh pukulan pada 2010.

Lima pemain ketinggalan hanya satu pukulan, termasuk juara Masters 2018, Patrick Reed. Adam Schenk, pemain Scotland, Martin Laird, pemain Kanada, Nick Taylor dan Dylan Frittelli dari Afrika Selatan turut berada dalam kelompok itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 12:34 PM