MCILROY (kiri) melakukan pukulan tee.
MCILROY (kiri) melakukan pukulan tee.
AFP

Chaska, AS: Menghampiri kemenangan Piala Ryder pertama sejak 2008, pasukan Amerika Syarikat menakluki tiga aksi four-ball terakhir untuk meraih kelebihan 9 1/2-6 1/2 ke atas Eropah.

Kumpulan penyokong yang bising yang disifatkan Rory McIlroy sebagai keterlaluan dengan kata-kata menghina di Hazeltine National kelihatan gembira apabila pemain AS meletakkan mereka di kedudukan terbaik untuk mengakhiri tiga kekalahan berturut-turut pada kejohanan golf dwitahunan itu.

“Kami sentiasa dikritik, kami tidak kukuh sebagai pasukan, kami tidak mempunyai semangat mencukupi dan kali ini kami menganggapnya sesuatu yang peribadi,” kata kapten AS Davis Love.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik. Saya sungguh bangga.”

McIlroy yang memenangi aksi four-balls dan alternate shot semalam dengan gandingannya dari Belgium Thomas Pieters, pula mengangggap ejekan penyokong sesuatu yang peribadi.

“Saya fikir ada yang melampaui batas,”kata McIlroy.

“Ia memberi kesan kepada saya beberapa kali sedangkan saya tidak sepatutnya ambil kisah. Anda perlu biarkannya apabila emosi berada di tahap kemuncak seperti ini.”

McIlroy, pemain ranking ketiga dunia menjerit dan menggenggam penumbuknya sepanjang hari, bersemangat membalas kritikan penonton.

“Ia menaikkan semangat saya,” kata McIlroy.

“Lebih banyak mereka menjerit kepada kami, lebih baik kami bermain. Saya harap mereka menjerit kepada kami sepanjang hari esok (hari ini).”

Patrick Reed dan Phil Mickelson melakukan putt pada lubang terakhir untuk meraih dua mata penting AS manakala bintang Piala Ryder 10 kali Lee Westwood, pilihan kapten gagal menyempurnakan putt sejauh dua kaki menyebabkan Eropah kehilangan setengah mata.

Hasilnya, AS hanya memerlukan lima mata daripada 12 perlawanan terakhir hari ini untuk meraih kejuaraan manakala Eropah perlu mendapatkan 7 1/2 mata untuk mempertahankan trofi.

“Kecewa. Kami mempunyai beberapa peluang tapi pemain AS bermain begitu baik,” kata kapten Eropah Darren Clarke.

“Kami perlu bekerja keras esok.”

McIlroy dan Reed akan bertemu untuk aksi pembuka tirai perseorangan hari ini dengan pertemuan lain membabitkan Jordan Spieth menentang juara Terbuka Britain Henrik Stenson dari Sweden, juara Olimpik Justin Rose dari England menentang Rickie Fowler manakala juara kejohanan utama lima kali Phil Mickelson berdepan Sergio Garcia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:38 AM