AFP

Palm Beach Gardens: Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy terpaksa bertarung dalam cuaca berangin untuk mencatat tiga atas par 73 pada Kejohanan Honda Klasik, aksi pertamanya dalam Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Aksi dalam cuaca tidak menentu itu menyaksikan hanya 19 pemain melakukan par biarpun pemain Ireland Utara itu tidak begitu kecewa sekalipun ketinggalan lapan pukulan kepada graduan Web.com, Jim Herman.

“Saya kembali selepas berehat tiga minggu dan sememangnya agak sukar bermain bagus,” kata McIlroy.

“Hari ini tidak seperti permulaan saya inginkan, tapi andai mencatat pukulan lebih baik selepas ini, saya yakin dapat kembali bersaing.”

McIlroy mencatat bogey berganda pada lubang pertama par-70 lapangan PGA Kebangsaan itu selepas bola pukulan tee mendarat di belukar.

Dia kemudian bangkit dengan birdie pada lubang ketiga, tetapi tidak konsisten apabila mencatat bogey pada lubang keempat dan bogey berganda lubang kelima.

Selepas birdie lubang kelapan, McIlroy kembali melakukan bogey lubang ke-11 dan 14 sebelum menamatkan hari pertama dengan dua birdie selepas itu.

“Tiupan angin mula berhenti di beberapa lubang terakhir,” kata McIlroy kepada rakan sepermainan, Brooks Koepka menuju ke lubang 15.

“Mari kita lakukan beberapa birdie dan cuba mendapatkan sesuatu lebih baik selepas ini.”

Koepka, juara Terbuka Phoenix awal bulan lalu menamatkan permainan dengan lapan atas par 78 manakala Dustin Johnson, pemain ketiga dalam kumpulan itu mencatat 77.

McIlroy yang hadir selepas menjuarai Kejohanan Dubai Desert Classic dan naib juara di Abu Dhabi dalam satu daripada dua Jelajah Eropah musim ini, mampu menamatkan saingan lebih baik dan yakin bangkit hari ini.

“Berdasarkan ramalan cuaca, ia nampak baik. Harap-harap keadaan itu akan memudahkan permainan saya,” katanya.

Kesulitan McIlroy dan ramai pemain lain memberi keselesaan buat Herman.

Herman yang tinggal berdekatan Palm City, tidak melakukan bogey pada permainan awal pagi.

Dia hanya memiliki satu kejuaraan Jelajah Nationwide, kini dikenali Jelajah Web.com pada Klasik Moonah 2010 di Australia. Dia layak menyertai musim 2015 selepas melepasi enam daripada 10 siri kejohanan.

“Tiupan angin agak mencabar,” kata Herman. “Ketika angin tidak kuat, anda perlu mengambil kesempatan itu sebaik mungkin. ”

Herman kini mendahului rakan senegara dari AS, Brendan Steele satu pukulan.

Pemain Ireland, Padraig Harrington berkongsi tempat ketiga dengan tiga bawah par 67 bersama Martin Flores dan Patrick Reed. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:13 AM