Ahli keluarga dan rakan sekerja mengusung jenazah Mohd Senu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seribong, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ahli keluarga dan rakan sekerja mengusung jenazah Mohd Senu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seribong, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Jenazah Timbalan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Superintendan Mohd Senu Mohd Nor, 49, yang meninggal dunia selepas rebah ketika rehat bermain badminton semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seribong di sini, kira-kira 2 petang.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Kampung Parit, Pasir Tumboh di sini, dari Melaka kira-kira 12 tengah hari.

Turut mengiringi jenazah balu Allahyarham Suraya Yusof, 42, dan tiga anak mereka, Muhammad Khalis Amali, 19; Muhammad Mirza Aiman, 6; dan Maryam Malissa, 5.

Keluarga Allahyarham turut mengadakan majlis bacaan Yassin dan al-Quran selama sejam sebelum jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Qasimi, Pasir Tumboh selepas solat Zohor.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, penduduk kampung dan kenalan arwah hadir pada majlis pengebumian itu.

Allahyarham Mohd Senu meninggal dunia di Hospital Melaka pada 7.58 malam semalam selepas rebah secara tiba-tiba ketika rehat bermain badminton di Dewan IPK Melaka di Bukit Beruang.

Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din mengesahkan kematian itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 3:00 PM