ALLAHYARAM  Nur Nikman Yusof. FOTO Ahmad Ismail
ALLAHYARAM Nur Nikman Yusof. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Imam Masjid Jamek Pasir Pelangi di Johor Bahru, Nur Nikman Yusof meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Li Chi Kampung Abdullah, di sini, malam tadi.

Difahamkan, Allahyarham juga mantan Imam Masjid Bandar Labis rebah secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia.

Rakannya, Mohamad Abdullah, 49, berkata, dia pernah bertugas bersama Nur Nikman, 40-an, sebagai imam di Masjid Bandar Labis dan menyifatkan arwah seorang imam ratib yang berdedikasi menjalankan tugas serta amanahnya.

"Lewat malam tadi, saya mendapat perkhabaran duka dan menyedihkan, rakan imam yang sama pernah berkhidmat di Masjid Bandar Labis, Ustaz Nur Nikman meninggal dunia.

"Dia rebah selepas bermain badminton dan tidak berjaya dipulihkan serta disahkan meninggal dunia," katanya ditemui di Labis di sini, hari ini

Katanya, Nur Nikman berasal dari Pokok Sena, Kedah dan terkenal dengan usaha menjadikan Masjid Bandar Labis pusat aktiviti pengajian Islam dan al-Quran.

Menurutnya, di Masjid Bandar Labis, Allahyarham mengajar jemaah membaca al-Quran, tajwid dan taranum.

"Sepanjang saya bersamanya, arwah disenangi masyarakat setempat dan kehidupannya banyak dihabiskan dengan al-Quran.

"Arwah dimaklumkan pulang ke kediaman isterinya di Felda Tenang dan sempat bermain badminton," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.15 malam dan sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sukan itu terbaring di lantai.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Seorang pemain yang berada di lokasi kemudiannya menghubungi Paramedik Hospital Daerah Segamat (HDS)

"Pemeriksaan petugas ambulans yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Jenazah dibawa pulang ke kampungnya di Pokok Sena, dari Masjid Bandar Labis di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 6:47 PM