HAKEEM Hamdi iaitu cucu Allahyarham Datuk Dr Haron Din mengaminkan doa selepas mengimamkan solat jenazah ghaib buat arwah datuknya di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 17 September. FOTO Faiz Anuar
HAKEEM Hamdi iaitu cucu Allahyarham Datuk Dr Haron Din mengaminkan doa selepas mengimamkan solat jenazah ghaib buat arwah datuknya di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 17 September. FOTO Faiz Anuar
Mohd Husni Mohd Noor dan Hazira Ahmad Zaidi


Putrajaya: Lebih 500 jemaah menyertai solat jenazah ghaib buat Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) sejurus solat Zohor, hari ini.

Solat yang diimamkan Pemangku Imam Besar MTMZA, Ehsan Mohd Hosni turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Selain MTMZA, solat jenazah ghaib untuk tokoh agama itu turut diadakan di Masjid Putra.

Allahyarham Dr Haron meninggal dunia pada usia 76 tahun, pada 10.10 pagi semalam, waktu Malaysia, di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat, berikutan komplikasi jantung.

Di Shah Alam, Bernama melaporkan suasana sedih menyelubungi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, apabila kira-kira 5,000 jemaah menyempurnakan solat jenazah ghaib.

Solat jenazah ghaib pada 9.25 pagi, diimamkan cucu Allahyarham iaitu Hakeem Hamdi, 17.

Turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Exco Selangor daripada PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Terdahulu, ketika imam besar masjid berkenaan, Muhammad Farhan Wijaya memanjatkan doa terhadap Allahyarham Dr Haron sebelum solat dilangsungkan, rata-rata jemaah kelihatan sebak sehingga ada yang mengalirkan air mata.

Di KOTA BHARU, lebih 500 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Masjid Pondok Pasir Tumboh.

Solat diimamkan oleh Setiausaha Agong Pondok Pasir Tumboh Ahmad Shairazi Atiqullah selepas selesai menunaikan solat Zohor.

Di ARAU, Lebih seratus umat Islam menunaikan solat jenazah ghaib buat Allahyarham.

Solat jenazah ghaib anjuran PAS Perlis itu diadakan di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Kampung Jejawi Dalam, pada 6.20 pagi, selepas solat subuh yang diimamkan Ustaz Abdullah Sabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 4:14 PM