Shahidan (tengah) meninjau keadaan kolam renang dan kemudahan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis di Kangar, semalam.
Shahidan (tengah) meninjau keadaan kolam renang dan kemudahan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis di Kangar, semalam.

Kangar: Ketiadaan kemudahan kolam renang menjejaskan perkembangan dan prestasi atlet acara renang dan terjun Perlis kerana kolam renang tunggal dengan kelengkapan di Kompleks Sukan Negeri Perlis masih belum dapat beroperasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu tidak harus dibiarkan berlarutan dan pihaknya akan berusaha bersemuka dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan jalan penyelesaian.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Renang Amatur Negeri Perlis berkata, sudah sampai masanya pihak berwajib bertindak dan berusaha agar kemudahan itu dapat dibuka semula secepat mungkin demi masa depan perkembangan atlet sukan renang negara khasnya, Perlis.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan tinjauan dan bakal menyediakan laporan ringkas kepada KBS.

“Atlet renang negeri ini gusar kerana tiada tempat untuk mereka berlatih kerana satu-satunya kolam renang di negeri ini yang lengkap dengan kemudahan termasuk kolam acara terjun masih belum dapat dibuka untuk kegunaan umum selepas selesai SUKMA 2014.

“Justeru, saya akan cuba membawa perkara ini kepada pengetahuan Menteri Belia dan Sukan untuk mendapatkan fikiran beliau serta berharap pihaknya dapat membantu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya.

Shahidan berkata, dengan pembukaan semula kolam renang terbabit, segala perancangan semasa pihak persatuan renang negeri dapat direncanakan selain proses mencari bakat baharu diteruskan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Abdul Jamil Saad berkata, kerajaan negeri sudah menyerahkan kembali kolam renang itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KBS sebaik tamat SUKMA 2014.

“Kolam renang dan kemudahan berkaitan sebenarnya bukan di bawah pengurusan dan tanggungjawab kerajaan negeri, tapi JKR dan KBS.

“Kerajaan negeri hanya mendapat kebenaran untuk menggunakan kemudahan kolam renang itu ketika SUKMA dan sudah diserahkan semula selepas tamat kejohanan,” katanya.

Abdul Jamil berkata, pihaknya akan berusaha memohon sekali lagi kebenaran untuk menggunakan kolam renang terbabit sekiranya selesai segala proses baik pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 8:30 AM