Kangar: Proses penamatan kontrak syarikat kontraktor yang gagal menyelenggara Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, sedang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis Abdul Jamil Saad berkata, perkara itu sepatutnya berada di bawah kendalian pihak KBS kerana kemudahan pusat akuatik terbabit masih belum diserahkan secara rasmi kepada kerajaan negeri berikutan penundaan dalam kerja menyiapkan fasiliti sepenuhnya.

“Pusat akuatik ini sepatutnya sudah diserahkan kepada kerajaan negeri selepas berakhirnya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu ketika Perlis menjadi tuan rumah bagi temasya itu. Tapi disebabkan kerja menyiapkan fasiliti itu belum siap maka ia masih lagi diletakkan di bawah tanggungjawab KBS dan diselenggarakan kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi mengulas isu pusat akuatik berkenaan di majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis ke-13, di sini, semalam.

Jamil berkata, pihak KBS dan JKR sudah berjumpa dengan kontraktor pada awal Julai lalu bagi membincangkan masalah yang wujud selepas kegagalan kontraktor terdahulu menyelenggarakan tempat itu.

“Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segera dan kerja menyiapkan pusat akuatik ini sepenuhnya dapat disempurnakan sebelum November kerana Perlis bakal menganjurkan Sukan Antara Institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (SIKMA) yang membabitkan hampir 4,000 atlet.

“Selain SIKMA, fasiliti pusat akuatik itu juga diperlukan bagi persiapan atlet renang Perlis menghadapi SUKMA di Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:24 AM