ADAMAS mengesahkan dua pemenang pingat dalam acara angkat berat di Sukma 2022 yang didapati positif bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid' disahkan dari Terengganu. FOTO Agensi
ADAMAS mengesahkan dua pemenang pingat dalam acara angkat berat di Sukma 2022 yang didapati positif bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid' disahkan dari Terengganu. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menerima pengesahan keputusan dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis dua sampel atlet angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang didapati positif atau Adverse Analytical Finding (AAF).

Menurut KBS dalam satu kenyataan pihak makmal menjalankan analisis susulan berikutan bacaan profil steroid atlet adalah tidak normal sebagaimana yang direkodkan di dalam Sistem Pentadbiran & Pengurusan Anti-Doping (ADAMS) yang dibangunkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

"Analisa susulan yang dijalankan adalah Isotope Ratio Mass Spectrometry (IRMS) iaitu teknik analitikal yang perlu dilaksanakan kepada sampel yang mempunyai bacaan profil streoid abnormal sebelum AAF dibuktikan.

"Kaedah ini dapat mengenal pasti sumber testosterone dari dalam badan sama ada secara semula jadi atau faktor luaran (eksogenous). Hasil IRMS mengesahkan bahawa exogenous hormone administration iaitu penggunaan pelbagai hormon atau analog (bahan yang berfungsi sama) sama ada dalam rawatan perubatan, atau sebagai bahan yang meningkatkan prestasi, menjejaskan profil steroid yang tertera di dalam Athlete Biological Passport (ABP) atlet berkenaan," kata KBS.

Kenyataan berkenaan juga menyebut, keputusan IRMS ini juga dirujuk kepada kumpulan pakar IRMS Wada yang mengesahkan penemuan bahan terlarang dalam kedua-dua sampel berkenaan iaitu dalam kelas S1.1 Anabolic Androgenic Steroids (AAS).

Adamas mengesahkan dua pemenang pingat dalam acara angkat berat di Sukma 2022 yang didapati positif bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid' disahkan dari Terengganu.

Menurut Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia Adamas, Azura Bidin, pihaknya sudah menghantar surat kepada kedua-dua atlet terbabit selain Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:21 PM