HANNAH (tengah) berkata, ketiadaan penerjun elit itu yang tidak berjaya melayakkan diri adalah sesuatu yang harus diambil serius. FOTO WAN NABIL NASIR
HANNAH (tengah) berkata, ketiadaan penerjun elit itu yang tidak berjaya melayakkan diri adalah sesuatu yang harus diambil serius. FOTO WAN NABIL NASIR
Aizat Sharif


Kangar: Ketiadaan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam penyertaan pada Sukan Olimpik tahun ini adalah satu peringatan awal atau wake up buat Kementerian Belia dan Sukan untuk mula membangunkan bakat baru dalam sukan terjun di seluruh negara.

Ini selepas untuk kali pertamanya hanya penerjun, Bertrand Rhodict Lises yang akan menjadi penerjun tunggal negara dalam temasya berkenaan berbanding penyertaan yang berganda oleh atlet negara dalam sukan terjun dalam beberapa temasya Olimpik sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketiadaan penerjun elit itu yang tidak berjaya untuk melayakkan diri ke temasya itu adalah sesuatu yang harus diambil serius serta setiap negeri perlu memandang dengan lebih jauh dalam menghasilkan bakat baru dalam sukan terjun ini.

"Saya sudah minta kepada Bryan Nickson Lomas selaku Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara untuk bergerak pantas menerusi program fast track dalam acara terjun ini, ia adalah wake up call apabila Pandelela dan Dhabitah tidak pergi ke Olimpik.

"Kita juga tidak boleh selamanya bergantung kepada Pandelela dan Dhabitah semata-mata seperti sebelum ini di mana negara hanya bergantung kepada kehebatan Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol Ann David (skuasy), Pandelela dan Dhabitah (terjun) dan sudah tiba masanya untuk kita mula menghasilkan atlet baru dan pencarian bakat terutama di setiap negeri adalah sangat penting.

"Dalam masa yang sama juga, pencarian bakat baharu dan pembangunan sukan terjun ini hendaklah memfokuskan kepada semua negeri meskipun sukan terjun bukanlah sukan teras atau core kepada pembangunan sukan negeri berkenaan kerana terdapat potensi bakat yang tidak kita sedari boleh diketengahkan dalam mewakili negeri dan kebangsaan.

"Itu sebab saya maklumkan kepada Exco Belia dan Sukan setiap negeri sebelum ini untuk memberi kepentingan sama rata kepada sukan buat golongan wanita dan diharapkan Majlis Sukan Negeri masing-masing tidak abaikan dengan tidak memberi bajet kepada sukan wanita kerana kita tidak mahu bakat yang ada dibazirkan begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan bakat cilik sukan terjun sempena Program Pencarian Bakat Akuatik Terjun di Kolam Renang Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, di sini hari ini.

Katanya, kepentingan pembangunan sukan terjun terutama dalam acara wanita ini adalah disebabkan ia kini menjadi antara lubuk pingat dalam setiap pertandingan, kejohanan mahupun temasya sukan peringkat serantau.

"Malah, Malaysia adalah kuasa sukan terjun di peringkat Asia Tenggara namun sekiranya pembangunan bakat dilakukan secara konsisten di setiap negeri mahupun negeri, sukan ini dapat pergi dengan lebih jauh di peringkat antarabangsa seperti yang kejayaan yang pernah dilakar oleh atlet terjun wanita kita sebelum ini.

"Selain itu, kekurangan bakat wanita dalam acara terjun juga hampir menyebabkan acara terjun 10 meter wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini digugurkan disebabkan tidak mendapat penyertaan yang banyak namun mujurlah kita (KBS) berjaya kembalikan semula acara berkenaan dengan penyertaan enam buah negeri bagi acara berkenaan," katanya.

Terdahulu, Hannah melawat kemudahan prasarana sukan akuatik di kolam renang berkenaan yang pernah digunakan bagi acara akuatik semasa Sukma Perlis pada 2014 lalu.

Selain itu juga, beliau turut meninjau bakat cilik yang menjalani latihan bagi program pencarian bakat akuatik di kolam renang berkenaan yang dikawal selia oleh Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara Bryan, yang juga bekas penerjun negara.

Turut hadir adalah adalah Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Mohd Azraai Zain Tusimin, Ahli Parlimen Kangar, Zakry Hassan dan wakil daripada Majlis Sukan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:07 PM